Persija Jakarta, Kamu Keren Dong
Apabila JDT tewas di tangan Muangthong United di peringkat kelayakan Liga Juara-Juara Asia, saya dan beberapa rakan sangat gembira kerana hajat kami untuk pergi ke Gelora Bung Karno bakal tercapai.
JDT yang diundi dalam satu kumpulan dengan Persija Jakarta mendatangkan rasa teruja kepada saya. Aura Gelora Bung Karno yang sering didengari bakal saya rasakan sendiri.
Saya mengambil cuti dan menempah tiket penerbangan serta hotel bagi memastikan saya berada bersama-sama dalam lipatan sejarah JDT. Jakarta menyambut kami dengan ramah tamah serta sopan santun.
Berjalan kaki sahaja ke stadium dari hotel, saya mula merasakan kehangatan bahang perlawanan itu. Penyokong Persija begitu bersemangat turun ke stadium dengan pelbagai cara pengangkutan. Mereka bersorak sorai disepanjang laluan masuk ke stadium.
Ada benda yang boleh dipelajari oleh pengurusan stadium di Malaysia apabila melibatkan perlawanan yang besar. Hanya mereka yang mempunyai tiket sahaja yang boleh melepasi kawalan keselamatan peringkat pertama.
Ekoran dari sistem ini, kawalan keselamatan peringkat kedua lebih lancar kerana ia hanya melibatkan para penyokong dan tidak melibatkan orang awam. Penyokong Persija juga sangat berdisiplin dan menjaga tata susila mereka ketika beratur.
Namun Indonesia tetap Indonesia. Kawalan keselamatan peringkat ketiga iaitu di pintu masuk stadium terkesan lemah. Bagaimana penyokong Persija boleh duduk sekali dengan penyokong JDT. Tiada kawalan dilakukan di pintu masuk untuk memisahkan kedua penyokong.
Setelah bermula babak kedua barulah dilihat pasukan keselamatan mula menghalau keluar penyokong Persija dari tempat JDT. Itupun setelah penyokong Persija sendiri yang memulakan provokasi.
Atmosfera didalam stadium sungguh menggerunkan. Tidak hairanlah jika pemain muda JDT berasa gemuruh sehingga tewas mudah di babak pertama. Penyokong Persija Jakarta sememangnya fanatik dan mereka telah menunjukkan bagaimana penyokong boleh membantu pasukan menaikkan semangat sebagai pemain ke 12.
Saya kagum dengan suasana tersebut. Lebih 60,000 penyokong memenuhi Gelora Bung Karno dan mereka bernyayi tanpa henti di sepanjang perlawanan. Ianya sekaligus mencatat rekod baru kehadiran penonton untuk peringat kumpulan Piala AFC.
Tamat perlawanan, JDT yang menurunkan hampir kesemua pemain tempatan tewas 0-4. Namun penyokong tetap berpuas hati kerana ini boleh dikatakan antara ‘awaydays’ yang sangat bermakna. Saya berbangga kerana nekad untuk berada di situ walaupun timbul sedikit rasa takut.
Tidak pernah lagi ultras dari Malaysia mendapat jemputan ke Gelora Bung Karno. Hanya Boys of Straits dan penyokong JDT sahaja yang mendapat layanan VIP dari pasukan Macan Kemayoran itu. Ini satu lagi pengalaman yang sungguh berharga.
Tahniah diucapkan kepada pasukan dan penyokong JDT. Mereka sangat berdisiplin dan tidak melayan provokasi dari penyokong pihak lawan. Perjalanan pulang juga menjadi lancar dan memadamkan kegusaran awal.
Buat Jakmania dan semua penyokong Persija Jakarta, terima kasih saya ucapkan atas pengalaman berharga ini. Hanya saya ungkapan yang boleh diberikan kepada mereka. Jaks, kamu keren dong.
Selamat maju jaya di peringkat Piala AFC seterusnya. Harimau Selatan ingin berehat sebentar. Sampai jumpa nanti.
Luaskan Kuasamu Johor
Shahril, Kajang
Foto: www.asiana.my
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.