KALAH SEKALI SELEPAS HAMPIR DUA TAHUN — KITA HARUS TENANG

Kekalahan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas pencabar liga, Terengganu FC bukanlah dianggap satu keputusan yang mengejutkan kerana semua sedia maklum akan kekuatan yang ada pada skuad kendalian Nafuzi Zain.

Malah kita juga sedia maklum bahawa semua pasukan mahu menewaskan JDT dan mereka akan bermain mati-matian bagi memastikan KPI tahunan mereka tercapai. Kini Terengganu FC boleh mendabik dada kerana berjaya mencatat rekod tersebut.

Tetapi tahukah kita semua bahawa kali terakhir JDT tewas adalah pada bulan Julai 2019. Selepas 21 bulan barulah kita tewas sekali lagi. Mana kita hendak cari pasukan yang cukup konsisten seperti ini.

Apa yang lebih membanggakan, JDT tidak pernah kalah di tempat lawan dan mencipta rekod baru menang 30 perlawanan di tempat lawan. Kita sebagai penyokong setia harus tenang dan menganggap kekalahan ini sebagai ‘hiccup’.

Ketua Jurulatih, Benjamin Mora juga sedih dengan kekalahan ini tetapi beliau berjanji akan mencari semula sentuhan kemenangan yang sentiasa kita dambakan setiap minggu.

Tindakan pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang ‘sporting’ melawat bilik persalinan Terengganu FC serta mengucapkan tahniah kepada para pemain jelas menunjukkan semangat kesukanan tinggi yang ada pada Baginda.

‘Gesture’ ini memperlihatkan Baginda sememangnya seorang yang bersikap terbuka dan memberikan kredit kepada mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan JDT kerana semua orang sedar bahawa ianya bukanlah tugas yang mudah.

Kepada Terengganu FC, tahniah atas kejayaan ini dan buat pemain JDT, tiada apa yang patut dimalukan. Anda bermain mati-matian tetapi inilah adat bola sepak, ada hari semuanya tidak menjadi tetapi anda tetap kami anggap sebagai wira. ‘Do come back stronger’.

Hidup Mati Johor. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply