Tanyalah kepada setiap pemilik atau presiden kelab bola sepak di serata dunia ini apakah yang mereka mahukan dari kelab mereka? Jawapannya sudah pasti kejayaan menjulang piala ataupun tidak rugi dalam perniagaan.
Tetapi adakah kita bertanya kepada pemilik atau presiden kelab yang berjaya apakah proses dan susah payah yang dihadapi mereka sebelum kelab mereka berjaya menjulang piala dan mengecapi kejayaan.
Ini kerana lumrahnya kita sebagai manusia, kita lebih fokus kepada kejayaan dan bukannya proses serta jerit perih yang dirasakan sebelum berjaya. Banyak buku motivasi menggambarkan kejayaan seperti ‘iceberg’ dimana orang hanya melihat kepada puncaknya sahaja tetapi tidak nampak apa yang berada di bawahnya.
Atas faktor inilah ramai pemimpin baharu kelab bola sepak yang melihat kejayaan kelab umpama mimpi indah dan bukannya mimpi ngeri. Mereka mula mendabik dada menyatakan manifesto mereka kepada media dengan harapan dapat membeli jiwa para penyokong. Langkah yang dilihat seolah-olah hanya mengejar populariti.
Tetapi setelah bergelumang dengan dunia bola sepak sebenar barulah mereka menyedari bahawa ianya sangat sukar dan mula mencari alasan apabila janji yang ditabur mula dituntut oleh para penyokong yang teruja diawalnya.
Bola sepak ini adalah satu proses. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah meletakkan asas yang kukuh dan membinanya dari bawah. Memilih individu yang tepat dalam menjalankan peranan masing-masing adalah langkah kedua penting yang perlu dilakukan.
Tidak salah menggunakan orang politik mahupun ahli perniagaan tetapi pastikan orang itu tidak menjadikan bola sepak sebagai platform untuk beliau meraih undi atau untuk menjadi popular. Jika beliau benar minat dan tahu tentang perniagaan bola sepak moden, kita perlu menyokong usaha beliau.
Sasaran perlulah realistik berdasarkan keupayaan pasukan dan juga kedudukan kewangan kelab pada ketika itu. Jangan menjanjikan bulan dan bintang kerana tidak rugi mengakui kelemahan dari awal daripada dikutuk kerana gagal mencapai KPI bunuh diri yang ditetapkan sendiri.
Sudah banyak contoh kelab bola sepak yang berjaya menerusi kaedah ini. Di Malaysia contohnya tidak lain dan tidak bukan adalah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Katalah apa yang anda inginkan kepada JDT tetapi hakikatnya mereka membuktikan formula ini berkesan.
Sudah sampai masanya orang bola sepak berhenti membodek dan mengiyakan sesuatu perkara yang salah. Percayalah, pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor juga belajar mengenai pengurusan bola dengan mereka yang berkelayakan.
Mengapa setiap pemilik kelab seharusnya bekerja keras membangunkan pasukan masing-masing? Ini kerana ranking pasukan kebangsaan kini bergantung kepada persembahan kelab di peringkat Asia.
Jika dahulu JDT bersaing sendirian, kini Kedah dan Terengganu dapat membantu mata MA Malaysia sekaligus memastikan ranking negara meningkat.
Apabila ranking meningkat, skuad kebangsaan dan kelab Kelab Malaysia yang akan mendapat manfaat dengan undian dalam kumpulan yang lebih baik dalam kejohanan-kejohanan Asia.
Akhir kalam, ingatlah bola sepak adalah proses dan kejayaan pasti datang diakhirnya. Bertenang dan lakukan kerja dengan ikhlas. Hentikan rungutan di media massa dan media sosial. Jangan jadi seperti serigala menyalak bulan tetapi “let your success make the noise”. Fikir-fikirkanlah.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.