‘WAKE UP CALL’ UNTUK JDT

Foto: Syafiq Affendy – www.asiana.my

“You learn more from losing than winning. You learn how to keep going..”

Wake up call untuk JDT

Ramai penyokong terutama yang fanatik marah dan kecewa dengan kekalahan JDT. Tetapi bagi saya, tewas di tangan Kuala Lumpur bukanlah perkara yang memeranjatkan. Harapan untuk menjarakkan diri dari pencabar terdekat punah begitu sahaja.

Ini adalah perlawanan tempat lawan pertama di liga domestik. Setelah menonton kesemua permainan JDT tahun ini, JDT jelas bergelut di tempat lawan.

Mereka seolah olah terikut ikut rentak pasukan tuan rumah.

Saya dan keluarga berkobar kobar ke Kuala Lumpur dari Yong Peng. Perjalanan kira kira 3 jam ditempuh dengan tenang kerana rasa teruja mengatasi segalanya.

Tiba di Cheras, saya rasakan seperti berada di Larkin. Tindakan KLFA yang menjual 80% tiket kepada JDT menjadi cemuhan dari penyokong mereka.

Semangat saya semakin meluap apabila masuk ke stadium pada jam 8 malam. Mendengar nama kesebelasan pemain yang diturunkan, saya semakin yakin 3 mata penuh bakal dibawa pulang ke Larkin. Di atas kertas Kuala Lumpur pasti tidak mempunyai jawapan terhadap serangan JDT.

Selepas 20 minit perlawanan saya dapat rasakan bahawa pemain JDT bermain terlalu santai. Mereka seolah olah tidak menghormati langsung pasukan Kuala Lumpur. Banyak peluang dilepaskan kerana mereka ingin menunjuk nunjuk kehebatan hantaran dekat.

 

Foto: Hafiz Othman

Serentak dengan turunnya hujan,  Kuala Lumpur menjaringkan gol di minit 44 sekaligus menyentap ego pemain JDT. Penyokong dilihat masih tenang tetapi saya sudah menjangkakan yang Kuala Lumpur akan turun dengan corak ultra defensif pada separuh masa kedua.

Pengadil menghentikan perlawanan di minit 56 dan setelah setengah jam, komisenor perlawanan memutuskan bahawa perlawanan akan dihentikan akibat cuaca buruk dan akan disambung pada Ahad jam 4 petang.

Ramai yang kecewa dengan keputusan ini. Saya sendiri balik semula ke Yong Peng kerana perlu bekerja pada Ahad. Sepanjang perjalanan beberapa perkara muncul di fikiran saya tentang corak permainan JDT.

Saya bukanlah pakar taktikal tetapi setelah menyaksikan 3 perlawanan pertama ini saya dapat simpulkan bahawa JDT bermain dengan corak yang sama. Tidak menafikan kehebatan Luciano Figueroa tetapi arah serangan dilihat tertumpu ke arah beliau sahaja.

 

Foto: Syafiq Affendy – www.asiana.my

Diaz, Natxo, dan Safiq mempunyai banyak peluang terhidang tetapi mungkin arahan jurulatih bola ditolak ke arah Figueroa. Pemain Kuala Lumpur sudah menjangkakan corak serangan ini sekaligus menafikan peluang gol.

Kebergantungan kepada Corbin Ong juga semakin ketara dalam perlawanan ini. Semua bola dihantar kepada beliau dengan harapan beliau akan memberikan satu hantaran lintang yang mungkin akan disambut oleh siapa lagi kalau bukan Figueroa. Jurulatih harus mempelbagaikan corak serangan dan bukan hanya bergantung pada satu arah.

Khidmat Gonzalo Cabrera dilihat kurang digunakan manakala S Kunanlan dilihat kepenatan setelah mengharungi lebih 200 minit perlawanan dalam seminggu. Pemain Kuala Lumpur hanya perlu menggunakan sedikit kekasaran untuk melumpuhkan serangan JDT.

Perlawanan di sambung pada Ahad dan dari “live streaming” yang ditonton saya dapat lihat perlawanan yang sangat negatif dari Kuala Lumpur. Tetapi itu strategi mereka. Mereka diarahkan memarkir bas di hadapan pintu gol mereka.

Pemain JDT pula mula hilang punca dan ingin bergaduh. Perkara ini tidak akan berlaku jika JDT menyempurnakan semua peluang yang terhidang di separuh masa pertama. Ya bola itu bulat tetapi sikap “menganjing” yang cuba ditonjolkan sememangnya memakan diri sendiri.

Foto: Syafiq Affendy – www.asiana.my

Oleh itu kekalahan ini sememangnya adalah “wake up call” untuk semua orang yang terlibat secara langsung mahupun tidak dengan JDT. Harus diingat semua pasukan hendak kalahkan JDT jadi sebagai pasukan, janganlah kita memandang rendah kemampuan  lawan.

Semua ini adalah pandangan peribadi saya sahaja. Saya pasti jurulatih dan pengurusan pasti mempunyai jawapan keatas kekalahan ini. Semoga ia hanyalah satu kesilapan yang tidak berulang. Luaskan Kuasamu Johor.

 

Luqman, Yong Peng

 

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply