TONTON BOLA DI STADIUM LAGI SERONOKLAH!

MENONTON BOLASEPAK DI STADIUM LAGI SERONOKLAH!

Isu kehadiran penonton ke stadium yang saban hari semakin merosot kini rancak dibincangkan di media sosial. Ada pelbagai faktor yang dikaitkan dengan kemerosatan ini.

Antara faktor yang popular adalah faktor bertembung dengan Piala Dunia, aksi di bulan Ramadan dan Syawal serta ada juga mengaitkan siaran langsung malah ada juga yang menyalahkan dominasi JDT di liga.

Saya terpanggil untuk berkongsi cetusan rasa berkaitan hal ini. Terlalu banyak alasan sebenarnya yang diberikan oleh penyokong tempatan bila tiba permasalahan ini. Mari kita rungkaikan faktor ini satu persatu.

1. Jika Piala Dunia dijadikan alasan, ya memang benar ia memberi kesan besar. Sebagai pentas utama bola sepak, tidak dinafikan Piala Dunia pasti akan diberi lebih perhatian berbanding liga tempatan. Pihak pengurusan liga sepatutnya sudah boleh menjangkakan perkara ini.

Dengan menjadualkan liga serentak dengan sepak mula piala dunia sudah pasti mengundang padah. Ia patut dikaji dengan lebih mendalam sebelum keputusan dibuat. Tidak salah jika sepak mula diawalkan sejam untuk menjadikannya lebih menarik perhatian peminat.

2. Perlawanan di bulan Ramadan dan Syawal perlu dijalankan kerana liga dan Piala Malaysia perlu dihabiskan pada akhir Oktober demi memberi laluan persiapan pasukan kebangsaan menghadapi Piala AFF Suzuki. Sebab itulah dari awal Piala Malaysia dianggap sudah tidak relevan oleh sesetengah pihak kerana ia menggangu jadual liga dan Piala FA.

3. Peminat harus bijak dalam menyusun jadual rumah terbuka jika mahu turun ke stadium demi pasukan kesayangan. Jika dilihat pada Liga Perdana Inggeris, stadium mereka tetap penuh walaupun pada hari Krismas sekalipun. Tiada alasan diberikan walhal ketika itu cuaca sangat sejuk.

4. Dulu tiada siaran langsung, peminat kepoh meminta siaran langsung. Sekarang semua perlawanan disiarkan secara langsung juga menimbulkan rasa kurang senang. Alasan penyokong tidak turun stadium akibat siaran langsung.

5. Tahukah anda, pengalaman menonton bola sepak di stadium jauh lebih seronok berbanding menonton di kaca tv mahupun layar lebar. Jika saya berkata begini, faktor kos pula akan dijadikan alasan selain alasan tidak dapat cuti, anak sekolah dan sebagainya.

 

JDT Punca!

6. Isu bolasepak tempatan dirasakan kurang asam garamnya jika tidak meletakkan kesalahan kepada JDT. JDT dikatakan mendominasi liga sehingga skrip kejuaraan sudah lama diketahui umum. Mengapa JDT dilihat mendominasi? Ini kerana pasukan lain gagal menyediakan pasukan yang setaraf jaguh selatan itu.

7. Akan muncul pula alasan kerana undang-undang liga digubal untuk JDT, pemain terbaik pasukan dibeli oleh JDT, dan pelbagai alasan yang dicipta semata-mata mahu menutup kesalahan persatuan bola sepak yang lain. Sampai bila alasan sebegini akan digunapakai entahlah.

Malah JDT juga mengalami masalah kemerosotan penyokong yang ketara. Namun jelas bagi pemilik JDT perkara ini terjadi akibat dari corak permainan yang agak membosankan oleh pasukan terutama di pertengahan musim tempoh hari.

Perlawanan Lain Pun ‘Sejuk’

Perlawanan separuh akhir Piala FA minggu lepas hanya mencatatkan kehadiran kurang dari 5000 penyokong walhal dilangsungkan pada Sabtu. Selangor yang meminta bermain di Stadium Shah Alam berkapasiti 80,000 tidak mampu memenuhkan Stadium Cheras yang hanya berkapasiti 20,000. Darulmakmur juga sepi dibandingkan ketika bertemu JDT. Alasan yang diberikan kerana bertemu PKNP dan masih dalam mood raya.

Tetapi jangan hairan jika Final Piala FA yang dijadualkan pada 7 Julai nanti akan menjadikan stadium “full house” walaupun bertembung dengan jadual suku akhir Piala Dunia. Apabila tiba di final, segala alasan tok nenek tidak akan timbul sebaliknya penyokong akan berduyun-duyun dari segenap pelosok negeri membanjiri Stadium Bukit Jalil.

Mentaliti inilah sebenarnya yang menyebabkan kemerosotan penyokong dan bukannya segala faktor yang saya nyatakan di atas. Itu yang saya katakan, pelbagai alasan akan diutarakan oleh penyokong bola sepak kita dan masing-masing mahu menyalahkan faktor luaran tanpa melihat kesanggupan diri sendiri turun ke stadium.

Tepuk dada tanya selera.
#iniligakita
#busukbusukpunorangkita

Amirul Kassim, Kota Kemuning

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply