TMJ PUTERA RAJA YANG MENJADI IKUTAN MARHAEN

 

Apa yang berlaku kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sekarang tidak akan terjadi tanpa azam dan usaha keras dari seorang individu yang sentiasa dahagakan kejayaan.

Siapa tidak kenal TMJ. Baginda adalah waris Kesultanan Johor yang sangat popular baik dalam bola sepak mahupun lanskap politik Malaysia. Baginda adalah seorang yang tegas, vokal, bersahaja malah kadang kala selamba dalam berkata-kata dan perbuatan.

Suka atau tidak, TMJ adalah seorang anak raja yang sering menjadi ikutan rakyat marhaen tidak kira media massa mahupun peminat peribadi baginda sendiri. Baginda adalah satu-satunya anak raja yang mempunyai akaun sosial media sendiri dan tanpa segan silu memuat naik swafoto dan aktiviti baginda.

Ketika kebanyakan kerabat lebih suka mendiamkan diri, TMJ pula lebih suka berkongsi pendapat dan kerana itu baginda mengundang haters dan kecaman dari pelbagai pihak yang tidak senang duduk.

 

Tweet handle baginda HRH Crown Prince of Johor menjadi ikutan ramai apabila banyak individu dan laman troll yang menggunakan handle HRH dipangkal nama mereka. Ini yang dinamakan ‘trend setter’ dalam dunia maya kini.

Apa yang baginda katakan mengenai senario politik negara akan dibincangkan di peringkat nasional dan menjadi bahan berita setiap media massa. Kalau dilihatkan dewasa ini setiap hari akan ada berita mengenai Tunku yang sering dipaparkan. Baginda juga tidak bias kepada mana-mana kerajaan kerana apa yang baginda mahukan adalah yang terbaik buat rakyat Malaysia amnya dan rakyat Johor khususnya.

 

Jangan hanya dilihat dari sudut negara, tetapi dalam bola sepak juga baginda tetap berlaku adil dengan memastikan setiap pasukan yang bertanding menerima geran tahunan dari hak penyiaran sebagai insentif untuk kelansungan pasukan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Baginda juga berjaya menarik penaja untuk memeriahkan bola sepak tempatan dan meletakkan aras profesional kepada semua pasukan. Ini kerana sebagai pemilik JDT, baginda perlukan pesaing yang bagus bagi menaikkan taraf liga bola sepak Malaysia.

Mungkin sudah sampai masa kesemua anak raja mempunyai karektor seperti TMJ. Karektor yang diperlukan untuk menarik perhatian pelabur dan penaja bagi memajukan ekonomi negara dan memenuhkan kantong persatuan bola sepak masing-masing.

‘Blueprint’ sudah ada. Cuma perlu diadaptasi dan ditambah baik kerana raja dan rakyat berpisah tiada dan bola sepak adalah milik rakyat. Fikir-fikirkanlah.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply