PENYOKONG JDT SEMAKIN MATANG?

JDT tersingkir awal dari kejohanan Shopee Piala FA 2019 apabila tewas di tangan PKNS FC 1-0 di Larkin. Tewas di Larkin itu boleh dianggap kejutan tetapi kejutan terbesar datangnya dari sikap penyokong JDT sendiri.

Penyokong JDT dilihat seolah-olah tidak kisah dengan kekalahan tersebut. Mereka kini sudah faham apa yang lebih penting dalam misi dan visi pasukan dan mereka kini bergerak seiringan dengan perkara itu.

Jika kekalahan ini berlaku 4 tahun dahulu, yakinlah penyokong JDT akan mula mengeluh dan menunding jari kepada pengurusan dan barisan kejurulatihan JDT. Tetapi kini sifat matang sudah mula meresap dalam sanubari.

JDT bertanding dalam 4 pertandingan berbeza dan para penyokong sudah dididik dari peringkat awal penubuhan kelab tentang piala mana yang lebih penting menjadikan mereka faham akan apa yang dilakukan pihak pengurusan dan jurulatih.

Menjuarai Liga Super sering menjadi sasaran utama JDT kerana ianya menjanjikan tempat di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC, kejohanan yang menjadi idaman JDT sejak dari dulu lagi. Manakala piala lain dianggap bonus jika berjaya mara ke final ataupun memenanginya.

Kematangan inilah yang mungkin boleh dibanggakan oleh pemilik JDT, Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Jelas idea dan konsep yang beliau tekankan sudah difahami para penyokong dan mereka menyokong sasaran yang diletakkan Tunku.

Walaupun turun dengan 90% anak tempatan dan bermain 10 pemain sepanjang 80 minit, JDT masih menunjukkan kualiti di atas padang dengan menguasai permainan cuma nasib tidak menyebelahi JDT.

Laman rasmi JDT juga dari awal sudah membuat hebahan tentang 7 perlawanan yang akan dihadapi oleh JDT sepanjang April dan penggiliran pemain sangat penting bagi memastikan setiap pemain berada dalam keadaan cergas.

Ini juga membantu penyokong untuk sama-sama berfikir bahawa sudah pasti pemain akan kelesuan dan penggiliran pemain perlu dilakukan dan kemungkinan untuk tersingkir dari kejohanan itu tidak dapat dielakkan.

Syabas semua penyokong JDT. Anda kini semakin matang dan semakin yakin dengan pasukan anda. Teruskan sokongan dan pastikan stadium sentiasa dibanjiri penyokong bagi memastikan JDT menjadi yang terbaik di dalam mahupun luar padang.

Luaskan Kuasamu Johor.

Foto: Ezreen B Abd Talip

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply