TIADA MASALAH BERATUR DUA JAM DEMI JERSI BAHARU JDT

 

Rasa teruja menunggu majlis pelancaran jersi baharu JDT membuak-buak apabila promosinya sering diwar-warkan menerusi medium media sosial JOHOR Southern Tigers. Tarikh 1 Februari sudah dipangkah pada kalendar dan semestinya ditunggu-tunggu.

Tibanya hari yang dinanti, kawan telah pastikan semua urusan keluarga, anak-anak, kenduri-kendara telah diselesaikan sebelum bergerak ke Dataran Bandaraya bagi memastikan kawan menjadi antara penyokong terawal memiliki jersi Nike baharu ini.

Ditambah pula dengan peluang mendapatkan dua pas masuk istimewa ke perasmian Stadium Sultan Ibrahim nanti, perasaan teruja itu tidak dapat dibendung lagi. Tiba di Dataran hampir jam 8 malam dan apa yang kawan lihat barisan untuk pembelian jersi sudah sampai ke hujung padang tetapi ianya tidak merentap semangat kawan untuk beratur.

Keadaan terkawal dengan arahan yang jelas dari marshall yang bertugas serta layanan mesra dari petugas JDT membantu para penyokong membuat pembelian dengan teratur tanpa ada rasa tidak puas hati dan tiada tolak menolak berlaku.

Dengan keadaan karnival serta hiburan yang disediakan, kawan berasa terhibur selain dari keseronokan beratur bersama-sama penyokong yang teruja terutama ‘kaki-kaki bola’ yang tidak canggung berbual mengenai peluang JDT di musim 2020 ini.

Pasti ada pihak ‘haters’ yang mengatakan “kata 50 langkah kehadapan tapi kenapa tiada jualan online?”. Bagi kawan jawapannya mudah sahaja. Ianya untuk menimbulkan rasa semangat kepada para penyokong dan kawan dapat tahu jualan di daerah-daerah juga mendapat sambutan malah ada daerah yang sudah ‘sold out’.

Ini tanda jelas sayangnya penyokong JDT kepada kelab kebanggaan kita ini. Kawan berjaya mendapatkan kedua-dua jersi serta 4 pas masuk istimewa setelah beratur lebih dari dua jam. Berbaloi dan sangat mengujakan. Penat dan lenguh tetapi setelah memegang jersi tersebut langsung hilang segala lelah.

Tahniah JDT atas pelancaran jersi baharu ini. Dengan video yang ‘catchy’ serta kualiti dan rekaan yang menarik, kawan berpuas hati dengan wang yang dibelanjakan. Tahniah juga kepada semua penyokong JDT dan sekarang mari penuhkan rumah baharu kita nanti.

Dan apa yang penting, dari perkiraan kasar, kawan jangkakan JDT dengan mudah berjaya mengaut hasil lebih dari RM200,000 hanya pada satu malam. Satu angka yang banyak untuk sebuah kelab bola sepak di negara ini.

 

Ini bukti kelab hampir mampu berdiri sendiri menerusi nilai komersil dan sumbangan penyokong sekaligus menjawab persoalan mengapa tiada logo penaja di hadapan jersi. Tahniah TMJ, Tunku berjaya mendidik penyokong Tunku dan mereka meyakini Misi 1 Bilion ini.

Dua jam beratur. Takde hal lah. Ini Johor Darul Ta’zim. ‘Make Way For The King’.

Luaskan Kuasamu Johor.

Foto: Ezreen B Abd Talip – HS

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply