TAK PERNAH TERFIKIR SAMBUT DUA KEJUARAAN DALAM DUA MALAM

Siapa sangka siapa menduga Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya memberikan mimpi yang sempurna buat semua para penyokong apabila sekali lagi muncul juara liga.

Tambah menarik bukan satu tetapi dua kejuaraan dalam dua hari berturut-turut. Haa tepok. Umpama mimpi dalam mimpi tetapi itulah realiti yang kita semua harus terima sebagai kenangan terindah.

Bermula pada Jumaat di Shah Alam, JDT II muncul juara Liga Premier buat kali pertama dalam sejarah dan juga juara terakhir apabila kejohanan itu tidak lagi akan dipertandingkan bermula tahun hadapan.

Ini boleh dianggap sebagai kemuncak selepas sembilan tahun bertanding sebagai pasukan feeder buat JDT dan kerja keras yang ditampilkan setiap pemain membuahkan hasil.

Tidak cukup dengan itu, pasukan utama menambah keceriaan Pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor apabila muncul juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut di Iskandar Puteri.

Foto: Ezreen Abd Talip – HS

Selepas membelasah Negeri Sembilan, JDT perlu menunggu lebih 30 minit sebelum disahkan sebagai juara apabila pencabar terdekat, Sabah FC tewas di tangan Terengganu FC.

Perkara ini tidak akan terjadi jika pengelola liga lebih cakna dengan perebutan kejuaraan dan menyusun waktu sepak mula serentak buat kesemua pasukan. Pemain dan penyokong JDT terlepas detik kegembiraan bersama-sama selepas dua tahun dibelenggu pandemik Covid-19.

Apa yang terjadi biar terjadi. Kini kita sambut kejuaraan ini dengan penuh kegembiraan dan nantikan tanggal 15 Oktober depan untuk sambutan besar-besaran bukan sahaja untuk pasukan bola sepak yang menyapu bersih trofi tetapi buat semua sukan yang membawa nama baik Johor.

Ini Johor Darul Ta’zim, Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply