JDT ADA PELUANG JADI JUARA SABTU INI, AYUH SEMUA! PENUHKAN RUMAH KITA

Menjadi juara Liga Super bukanlah perkara baharu buat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tetapi menjadi juara buat kali kesembilan berturut-turut adalah satu pencapaian yang luar biasa.

‘Triple Hattrick’ bak kata orang putih bukanlah perkara yang mudah dilakukan. Menang itu mudah tetapi mempertahankan memenangi selama sembilan tahun itu adalah dedikasi dan kerja keras semua yang terlibat dengan JDT.

Tetapi tahukah anda, JDT hanya pernah bergelar juara Liga Super sekali sahaja di laman sendiri manakala lima yang lain di laman lawan sebelum era pandemik. Dua kali di Selayang dan masing-masing sekali di Kuching, Ipoh dan Melaka manakala dua di Stadium Sultan Ibrahim tetapi dikala pandemik.

Tahun ini berbeza. Dengan kehadiran ke stadium mencatatkan purata lima angka untuk setiap perlawanan home, dijangka aksi menentang Negeri Sembilan FC Sabtu ini turut menarik ramai penyokong ke stadium.

Kemenangan JDT dan kekalahan pencabar terdekat akan memberikan kejuaraan kesembilan berturut-turut dan kita berhak untuk bergembira sebagaimana kita memenanginya kali pertama pada 2014.

Bangkitkan semula kenangan terindah yang membuat kita tersenyum itu kerana ini adalah sejarah yang tidak ada tolok bandingnya dalam mengejar mimpi yang sempurna.

Tambah menarik esok di Shah Alam, JDT II juga akan digelar juara Liga Premier buat julung kalinya mengikut jejak langkah JDT III yang muncul juara Piala Presiden hinggakan tahun 2022 ini seakan-akan semua tentang kita.

Ini bukanlah khayalan tingkat tinggi tetapi ianya adalah memori tercipta hasil kerja keras semua yang terlibat dalam kelab ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Ayuh Keluarga JDT seru semua sahabat sejati anda untuk sama-sama kita penuhkan stadium. Kita santuni penyokong Negeri Sembilan yang pastinya mahu melawat stadium kebanggaan kita. Layan sepenuh jiwa dan tunjukkan kepada mereka ini Johor Darul Ta’zim.

Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply