SYAHRIAN ABIMANYU — PROJEK SERAMPANG DUA MATA JDT

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya terkenal dengan jenamanya yang kukuh ditambah fasiliti kelas dunia dan pelbagai kejayaan di dalam padang.

Setiap hari individu-individu yang terlibat dengan JDT diketuai pemilik kelab DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor akan sentiasa bekerja keras bagi memastikan jenama JDT terus kukuh dan diperluaskan lagi ke luar negara.

Pada akhir tahun 2020, JDT mengumumkan telah menandatangani pemain muda asal Indonesia, Syahrian Abimanyu yang juga bekas pelatih di kelab Levante, Sepanyol sebagai sebahagian pelan jangka panjang kelab.

Berita ini disambut dengan penuh kegembiraan oleh peminat bola sepak di Indonesia kerana Syahrian adalah ‘wonderkid’ yang meningkat naik dan membantu Indonesia memenangi pingat perak pada Temasya Sukan Sea di Filipina.

Nama JDT yang sebelum ini sudah terkenal di Indonesia hasil penglibatan dalam Piala AFC menjadi lebih kukuh dengan semakin ramai peminat di Indonesia menjadi pengikut di laman sosial rasmi kelab.

Menggunakan pemain Indonesia sebagai alat pemasaran bukan lah benda baharu di Malaysia tetapi langkah berani JDT yang menandatangani pemain muda dan bukannya yang sudah menempa nama menjadikan Syahrian sebagai prospek masa depan JDT sekaligus mengikat penyokong untuk tempoh yang lebih lama.

 

Jenama JDT dan Syahrian sekali lagi melonjak apabila beliau dilihat menggayakan kereta Aston Martin ketika majlis memperkenalkan kerjasama antarabangsa baharu di antara JDT dan Aston Martin Racing di Stadium Sultan Ibrahim.

Media Indonesia memberikan liputan menyeluruh dan dilihat berbangga dengan kejayaan anak muda asal Jawa Tengah itu bergaya disamping kereta mewah dan melambangkan pemergian Syahrian ke ‘klub kaya Malaysia’ itu sebagai satu langkah yang tepat.

Tambah manis, Syahrian diberi debut pertama buat JDT apabila dimasukkan pada babak kedua ketika bertemu Sabah. Lebih menarik, beliau menggantikan legenda JDT, Safiq Rahim hingga digelarkan ‘changing of guard’ oleh netizen tempatan.

Perlawanan menentang Sabah itu juga mencatatkan rekod tontotan tertinggi di YouTube apabila mencecah 150,000 penonton pada suatu masa. Angka ini sudah cukup meyakinkan para penaja untuk bekerjasama dengan JDT.

Inilah yang dinamakan strategi serampang dua mata yang dilakukan oleh JDT. Mereka bukan sahaja menandatangani pemain untuk projek jangka panjang tetapi juga boleh digunakan sebagai alat pemasaran yang memang mempunyai potensi meraih pendapatan buat kelab.

Atas sebab inilah JDT muncul sebagai antara kuasa besar bola sepak Asia Tenggara dan mungkin juga di Asia. Bola sepak dijalankan sebagai perniagaan kerana ianya adalah projek jangka panjang yang boleh membanggakan seluruh negeri Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply