JDT BERIKAN TIGA KHABAR GEMBIRA BUAT PENYOKONG MINGGU INI

 

Jikalau berbicara tentang Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), terlalu banyak berita yang membanggakan dan menggembirakan para penyokong JDT yang mampu menguntum senyuman berpanjangan.

Untuk minggu ini sahaja, tiga perkara positif terjadi kepada JDT dan penyokong JDT pastinya tidak tahu cerita apa yang hendak dibanggakan lagi kerana ianya datang berturut-turut.

Pertama, JDT menyambung saingan liga dengan melakukan perkara biasa iaitu menang. Walaupun bergelut pada separuh masa pertama ketika bertemu UITM tetapi itu perkara biasa bagi pasukan yang baru sahaja menamatkan kuarantin 14 hari dan hanya turun berlatih selama 3 hari menjelang perlawanan itu.

Kejayaan Safawi Rasid dan Bergson meledak jaringan melepaskan beban yang ditanggung mereka dan percayalah lebih banyak gol lagi akan diledakkan oleh gandingan ini selepas ini.

Belum habis dengan kegembiraan itu, kita sekali lagi diberikan berita baik oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor apabila Baginda mengumumkan kerjasama JDT dengan Aston Martin Racing Asia.

Tidak pernah terbayang sebuah kelab kecil dari selatan ini berjaya menarik minat syarikat gergasi antarabangsa untuk bekerjasama secara jangka panjang. Kini JDT bekerjasama dengan badan dunia UNICEF dan dengan tiga syarikat dari Amerika Syarikat manakala masing-masing satu dari Britain, Switzerland, Singapura dan Thailand.

Ini yang dinamakan mendunia dan pastinya akan ada beberapa kerjasama dengan banyak lagi syarikat antarabangsa kerana jenama JDT yang kukuh dan mampu memberikan pulangan kepada pelaburan yang dilakukan.

Dikala cerita Syahrian Abimanyu bergaya dengan kereta Aston Martin setelah menyarung jersi ‘kelab kaya dari Malaysia’ yang mendapat liputan menyeluruh media Indonesia, Harimau Selatan sekali lagi memberikan kegembiraan kepada semua penyokongnya dengan satu lagi kemenangan rutin.

Kali ini ‘King of Malaya’ menjadi mangsa dengan kemenangan 3-1 di gelanggang lawan. JDT menampilkan persembahan cemerlang di atas ‘pitch perfect’ Selangor untuk selesa mendahului liga dengan kelebihan enam mata.

Bergson sekali lagi menggegar jaring manakala Matt Davies membuka akaun jaringan beliau sebelum Mohamadou Sumareh tenang menambah luka tuan rumah pada minit terakhir perlawanan.

Tiga berita baik dalam masa seminggu pastinya menggembirakan kita penyokong JDT. Ingatlah bahawa perkara-perkara seperti ini hanya dapat diimpikan oleh penyokong pasukan lain.

Marilah kita menadah tangan tanda bersyukur kerana kita dikurniakan kegembiraan ini walaupun tidak semuanya sempurna kerana kita adalah manusia yang tidak lari dari kesilapan. Hebat bukan rasa ini. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply