Jumaat ini satu lagi sejarah akan terpahat di dalam album Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bakal menjadi tuan rumah untuk perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Johor Bahru dipilih sebagai tuan rumah sebagai venue berpusat untuk kesemua perlawanan Kumpulan I dengan Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak Asia.
Tidak perlu dipertikaikan lagi keadaan kedua-dua stadium milik JDT yang mempunyai penarafan dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan hamparan padang yang sempurna untuk permainan bola sepak menarik dari kelab-kelab terbaik Asia.
Tetapi sebenarnya apa yang mencuri tumpuan adalah bagaimana kita sebagai penyokong Harimau Selatan mahu menunjukkan kepada dunia bagaimana budaya menyokong kelab kesayangan kita ini.
Jika sebelum ini, penyokong JDT perlu berbelanja lebih RM2,000 untuk ‘awaydays’ ke Jepun, China dan Korea sejak 2017 tetapi kini kita hanya perlukan sedikit perbelanjaan untuk hadir di Stadium Sultan Ibrahim dan memberikan sokongan yang padu kepada pasukan.
Marilah kita merah birukan gelanggang keramat kita. JDT belum pernah tewas dalam ACL di Stadium Sultan Ibrahim dan sama-sama kita gamatkan stadium untuk mencetuskan magis malam Asia selama enam malam.
Kurangkan beralasan lebihkan sokongan. Tunjukkan kepada dunia siapa kita. Tunjukkan budaya sokongan kita dan buktikan pada mereka kita juga berkelas Asia dengan sorakan yang bakal menggerunkan Onni Jepun, Oppa Korea dan Ge Ge China.
Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.