MENANG TETAP MENANG TANPA MENGIRA LAWAN SKUAD PERTAMA, KEDUA ATAU KETIGA

Keterujaan jelas terbayang di wajah para penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menyaksikan kelab Malaysia ini membelasah Guangzhou FC pada aksi pembukaan Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC di Stadium Sultan Ibrahim.

Kemenangan ini pastinya akan menyuntik semangat Harimau Selatan untuk beraksi lebih baik menentang lawan yang lebih hebat selepas ini. Tetapi sayangnya seperti biasa ada mulut-mulut dan tangan-tangan yang sentiasa tidak puas hati dan mencari kesalahan JDT.

Untuk makluman, kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) ini adalah kejohanan 40 kelab terbaik di Asia. 20 dari zon Asia Barat dan 20 dari zon Asia Timur. Syarat pertandingannya mudah. Anda harus menghantar pasukan untuk bertanding sekiranya kelab anda layak.

Atas desakan kuarantin yang dilihat mungkin tidak masuk akal selepas dua tahun di fasa pandemik Covid-19, semua kelab dari Republik Rakyat China terpaksa menghantar skuad simpanan untuk bertanding di ACL kerana skuad utama sedang bersedia untuk menghadapi musim baharu Liga Super China awal Mei ini.

Bukan sahaja Guangzhou FC, malah Shandong Taishan juga menghantar skuad simpanan dan dibelasah 7-0 oleh kelab Daegu dari Korea Selatan. Apa yang lebih malang, Shanghai Port terpaksa menarik diri terus dari kejohanan ini.

Ditakdirkan buat JDT apabila diundi bersama-sama kelab dari China dan akhirnya skuad kendalian Benjamin Mora ini menunjukkan aksi yang cukup memukau sekaligus meraih tiga mata yang sangat penting untuk membina keyakinan menempuhi lima lagi perlawanan.

Kemenangan adalah kemenangan. Tidak kira skuad mana pun yang diturunkan. Kita menentang kelab dan bukannya skuad. Bukan kita minta kelab China tidak menurunkan skuad utama. Akhirnya tiga mata dan USD50,000 menjadi milik JDT.

Apa yang penting, semua pemain menjalankan tugas dengan baik dan menunjukkan kesungguhan untuk membuktikan bahawa JDT berhak untuk bersaing di dalam kejohanan kelab elit Asia ini.

Perlawanan menentang skuad utama Ulsan Hyundai Isnin depan pastinya ditunggu bukan kerana mahu menyaksikan kualiti permainan tetapi mahu menunggu kekalahan JDT.

Tatkala kita menguntum senyum, ramai yang sakit hati di luar sana menyaksikan kita menang di ACL malah mencatat ‘clean sheet’ yang sekarang ini menjadi ‘trending’ di media sosial. Ingatlah usah dilayan dan kita jalan terus.

Tahniah JDT, Tahniah Bergson dan tahniah penyokong JDT. Anda memang ‘awesome’. Jumpa lagi Isnin ini. Luaskan Kuasamu Johor.

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •