Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah antara kelab yang sentiasa bersedia awal dalam melakukan apa jua perkara baik di dalam padang mahupun di luar padang.
Minggu ini, JDT dilihat sudah hampir memuktamadkan barisan pemain yang bakal membawa cabaran JDT dalam Liga Malaysia mahupun Liga Juara-Juara AFC bukan sahaja untuk musim hadapan tetapi untuk musim-musim yang berikutnya.
JDT menandatangani kontrak Shane Lowry selama dua tahun dengan pertahanan Australia itu jelas memberi kestabilan di bahagian benteng dengan persembahan yang tenang tetapi cemerlang.
Selain itu arkitek pintar JDT, Natxo Insa juga telah bersetuju untuk kekal bersama Harimau Selatan sekaligus memberikan khabar gembira buat penyokong yang sememangnya menggemari corak permainan yang ditunjukkan oleh beliau.
Dalam pada skuad utama semakin mantap, barisan pemain muda yang melakukan penampilan di JDT II juga menunjukkan aksi positif dengan kebanyakan mereka berusia di bawah 20 tahun.
Mereka ini semua adalah prospek masa depan JDT kerana hanya masa yang akan menentukan bila mereka semua akan dipanggil menyertai skuad utama seperti yang berlaku kepada Arif Aiman dan Ramadhan Saifullah.
Dengan ‘blueprint’ yang sama diterapkan dalam corak permainan kesemua pasukan JDT, pemain-pemain muda ini tidak kekok jika mereka ditugaskan beraksi di pasukan utama malah mereka juga sering menjalani latihan bersama.
Di JDT, tiada istilah pemain bintang tetapi siapa yang menunjukkan kesungguhan dan kecekalan di dalam sesi latihan, beliau akan dipilih tanpa mengira usia mahupun pengalaman di pentas tertinggi.
Inilah JDT, mereka sentiasa bersedia awal dan memastikan setiap pemain yang cemerlang akan mendapat tempat di dalam pasukan. Malah pemain yang berstatus senior juga perlu bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Buat para penyokong pula, teruskan sokongan kepada kelab kesayangan kita ini. Jaga diri, pastikan anda divaksinasi. Tidak sabar rasanya untuk kita semua hadir dan merasai kembali nikmat menonton perlawanan bola sepak di stadium.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.