SEMANGAT BAHARU DALAM MENGHARUNGI MUSIM 2021

Wajah ceria kesemua pemain skuad utama dan kedua Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas kelihatan ketika mereka dijamu dengan jamuan BBQ di perkarangan Ibu Pejabat JDT oleh pemilik kelab DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ)

Layanan hospitaliti terbaik dan perjumpaan bersemuka bersama big boss sudah pasti membangkitkan semangat para pemain untuk mengharungi musim 2021 yang bakal bermula dengan latihan pra musim hari ini.

Majlis makan malam seumpama ini bukanlah perkara baharu dalam JDT tetapi ianya berjaya menyuntik rasa kekeluargaan dan inilah yang menyebabkan persefahaman diantara pemain dilihat utuh seperti mana yang dilaporkan oleh sebuah media tempatan.

Musim 2020 ditinggalkan dengan rasa yang pelbagai. Kurang masa permainan baik di peringkat domestik mahupun di peringkat benua dilihat merencatkan sedikit keghairahan pemain tetapi JDT tetap menutup 2020 dengan nota gembira.

Kini tumpuan terarah kepada musim 2021. Dengan barisan pemain yang hampir sama barisan kejurulatihan pastinya sudah mempunyai formula terbaik untuk memastikan JDT sentiasa berjaya di dalam padang.

Stadium Sultan Ibrahim juga kini sudah bersedia dengan pelbagai penambahbaikan yang menjadikan stadium ini sebagai stadium terbaik di negara dari segi kualiti padang hingga kepada segala aspek yang ada di dalam stadium itu.

DYAM TMJ juga dilihat begitu serius dalam menaikkan nilai komersial kelab dengan sasaran RM 1 Bilion masih kekal dalam landasan dan dijangka dicapai pada pertengahan tahun ini. Satu lagi pencapaian ulung dalam sejarah kelab ini.

Para penyokong juga semakin teruja untuk kembali menjadi pemain ke-12 dalam norma baharu dengan segala SOP yang bakal ditetapkan kelak. Stadium bakal kembali bergema dengan sorakan asli Boys Of Straits (BOS) yang sememangnya dirindui.

Dalam pada kita bersemangat untuk memulakan musim jangan pula kita lupa dengan mangsa banjir yang melanda beberapa daerah di negeri Johor. Sama-sama kita menadah tangan agar segala musibah ini dapat berlalu dan semuanya bakal kembali seperti sedia kala.

Selamat Maju Jaya JDT. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply