SEDEKAD DOMINASI BUKTI TIADA SIAPA LEBIH BESAR DARI KELAB

Nobody is bigger than the club – Inilah kata-kata hikmah dari seorang ‘Visionary’ yang kita kenali dengan nama DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang menganggap kejayaan dominasi sedekad JDT adalah disebabkan kelab itu sendiri dan bukannya kerana individu.

Ketika awal penubuhan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2013 hingga kini, pelbagai perubahan telah dilakukan TMJ untuk memastikan nama JDT bukan hanya dikenali sebagai kelab bola sepak tetapi juga sebuah jenama kejuaraan.

Apa sahaja yang berkaitan dengan JDT perlu mempunyai acuan profesional yang mementingkan kebajikan para pemain dan hasilnya kejayaan demi kejayaan serta kejuaraan berganda dapat dihasilkan.

Foto: Ezreen Abd Talip

Ramai dari penyokong yang tidak gembira dengan beberapa keputusan yang dibuat Baginda seperti pertukaran jurulatih dan pemain yang ketika itu dianggap penyokong sebagai adiwira yang membawa kejayaan buat JDT.

Namun TMJ tidak betah malah dia yakin dengan cetakan biru kelab ini yang memungkinkan sesiapa pun yang mengendali dan bermain boleh mencapai kejuaraan kerana DNA kejuaraan sudah tersemat kemas dalam jata JDT itu sendiri.

Foto: Fatimah Idris

Sebagai bukti, sepanjang 11 musim bersaing di Liga Malaysia, pemain dan jurulatih silih berganti tetapi keputusannya tetap sama, JDT muncul juara dalam semua pertandingan yang disertai di peringkat domestik dan antarabangsa.

Ini kerana ‘blueprint’ yang telah dirancang sejak awal menuntut aksi bola sepak moden bermula dari pasukan utama hingga ke pasukan akademi untuk bermain dengan corak permainan yang sama supaya kenaikan pangkat pemain itu mudah dilakukan tanpa menunggu masa yang lama untuk mengadaptasi.

Foto: Ezreen Abd Talip

Bermula dari Fandi Ahmad hingga ke Esteban Solari, JDT bertambah baik dan semakin kuat dan kini menunggu masa dan detik untuk melenyapkan rekod kebanggaan Kedah memenangi ‘Double Treble” dengan mencipta rekod yang lebih hebat iaitu ‘Double Quadruple’.

Perkara ini mungkin tidak pernah terlintas di fikiran penyokong Johor ketika itu tetapi kini mereka dapat merasai sendiri nikmat bergelar juara setiap tahun tanpa gagal. Nikmat apa lagi yang hendak kita dustakan.

Foto: Fatimah Idris

25 piala sejak 2013 bukanlah satu perkara yang kecil tetapi kejayaan JDT bukan hanya diukur menerusi berapa banyak piala yang dimenangi tetapi dari secara keseluruhan termasuk kejayaan di luar padang yang sudah pasti tidak ada tandingannya.

Tahniah TMJ, tahniah JDT, syabas penyokong Harimau Selatan. Ini detik kita, hargai masa ini dan teruskan menyokong tanpa mengira hari, masa, perlawanan mahupun kejohanan. Buktikan kepada semua ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.