Pada era yang baharu ini, pendekatan kami lain. Di dalam dan di luar padang. No more story line. Semua benda yang kami akan lakukan dengan pendekatan lebih ‘short, sharp, simple, and class’ tahun ini adalah tahun di mana kami akan ‘Elevate the game’. Coming soon… Enjoy! – 8 Februari 2023, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Dua puluh tujuh haribulan sembilan dua puluh dua puluh tiga. Kejuaraan domestik mega musim ini selamat berlabuh di dermaga. Enam puluh empat mata sudah cukup menobatkan Harimau Selatan sebagai Maharaja yang supremasi. Liga Super Malaysia belum tamat tetapi kita sudah mencapai matlamat secara konsistensi.
Paling istimewa, kejuaraan ini di sambut secara langsung di depan mata isteri dan anak-anak yang hadir ke stadium. Paling teruja, anak lelaki kedua saya Rayyan tidak putus-putus mengukir senyum.
Sepanjang perjalanan ke Kota Tinggi dari Kota Iskandar Puteri, seperti tembakan senapang rotari, bertalu-talu soalan Rayyan beri. Bermula kenapa JDT menjadi sekuat hari ini? Kemudian mengapa JDT tidak mampu dicabar sehingga kini? Seterusnya bagaimana JDT melangkah sejauh begini? Akhir sekali sampai bila JDT akan kekal berada di tampuk tertinggi?
Saya mengangguk faham soalannya tanpa keluh dan kesah. Bersetuju memberi jejak masa menerusi puisi projeksi siasah. Dibuka sembilan belas huruf kalimah basmalah pemancar nur, cerita dilancar umpama soyuz di kosmodrom baikonur.
“Rayyan, inilah peperangan antara motivasi, ambisi dan realiti”
Satu dekad, segalanya bermula dengan iktikad, diolah cantik menjadi tekad, lalu langkah menjadi nekad, perlahan mutasi menjadi matlamat, kesudahannya impian tak salah alamat.
“Misi belum selesai untuk mencipta sejarah mendominasi 1 dekad. Perjalanan masih jauh. Demi Johor, demi kelab kami, demi keluarga biru merah putih kami. Kami adalah pencipta sejarah dan peneraju dalam setiap aspek. Ini adalah satu fakta dan bukan cerita dongeng atau halusinasi”- 29 Mac 2023, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Realitinya, Tunku adalah seorang yang bercita-cita tinggi dan hebat dalam intuisi. Menetapkan tanda aras dan berusaha keras mencari jalan untuk memanifestasi. Kekal cekal merealisasi impian radikal secara faktual. Mengkonsepsi segala tanda aras yang disasar logikal, lantas memberi impak kritikal buat mereka yang sentiasa skeptikal. Sebuah mimpi baginda terjemah menjadi cita-cita, manakala cita-cita itu Tunku corak untuk menjadi sesuatu yang terbukti nyata.
Maka soalan pertama, kenapa JDT menjadi sekuat hari ini? Jawapannya kerana Tunku adalah sumber utama segala energi.
“Rayyan, belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari”
Musim dua puluh dua puluh tiga kita semakin agresif, sentiasa memandang ke hadapan dengan impresif. Memastikan tiada seinci ruang bagi pasukan pesaing menganggugugat. Sebagai proposisi untuk terus inventif walau memerlukan memerah sehabis keringat.
Memanjat benteng-benteng hari dalam dakapan memorabilia yang sungguh indah. Melengkapi alegori daksina tanpa spasi yang kekal mekar sebagai wadah. Dari jatuh, gagal, bangkit dan sembuh gegala ambisi. Hingga runtuh, punggal, rengkit dan lebuh segala tradisi. Kini kejayaan kita stilistik bagai hyperion, tidak mampu ditandingi walau ianya Stratosphere Giant. Lalu terciptalah Magnum opus yang begitu agung, sepuluh tahun mendominasi, kita ditabal juara terulung!
Maka soalan kedua, mengapa JDT tidak mampu dicabar sehingga kini? Jawapannya pengalamanlah yang mendorong melengkapkan status quo hegemoni.
“Rayyan, tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati”
Rayyan masih ingat tragedi tiga puluh November dua puluh dua puluh satu? Detik Rayyan meraung apabila JDT tewas di pentas akhir Piala Malaysia malam itu?
Tahu tak? Piala Malaysia edisi keseratus itulah menyaksikan titik tolak rejuvenasi. Rentetan di Perlawanan akhir kita dieliminasi. Paradoksikal beranggapan bahawa kekalahan kepada Kuala Lumpur City adalah detik kejatuhan empayar. Manakala parokial menjadikannya bahan jenaka serta hiburan di televisyen dan juga akhbar.
“Kamu boleh bergelak ketawa hari ini atau sementara, tetapi saya akan gelak ketawa untuk beberapa tahun akan datang”-30 November 2021, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Itulah titah yang Tunku keluarkan sebaik sahaja diperlekehkan satu Malaya ketika JDT kalah. Dengan tenang Tunku menerima terbuka tanpa panik menekan kekunci jeda. Segala kata-kata agitasi diutilisasikan menjadi motivasi. Supaya bangkit lebih bertenaga untuk reorientasi reputasi.
Sabar penghilang penat, duka pembawa berkat. Fraterniti terjalin erat, maka tiada beban ditanggung berat. Konsekuensi kegagalan yang dikecapi pada tahun dua ribu dua puluh satu menjadi indikator ketetapan semula kekuatan Harimau Selatan. Pada tahun dua puluh dua puluh dua, JDT mendominasi arena Liga Malaysia tanpa sedikit rasa belas kasihan. Sehebat Siklon Tropika Hinnamnor, empat kejuaraan Liga Domestik disapu tanpa satu pun tersisa. Membuat satu Malaya berputih mata merintih harapan yang lebur, hancur dan binasa.
Dari dua puluh dua membawa ke dua puluh tiga, sejak itu kita tidak pernah kalah, digelanggang sendiri kita bebas bermaharajarela, di gelanggang lawan pula kita turut buas berkuasa. Satu persatu rekod baharu telah kita cipta, sehingga kini JDT berada pada kelas yang sangat berbeza.
“Apabila kami lakukan sesuatu, kami lakukannya dengan hebat! Malang untuk yang lain, mereka telah mengejutkan harimau yang sedang tidur. Sekarang harimau ini telah bangun, cergas dan lebih bermotivasi”- 17 Disember 2019, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Maka soalan ketiga, bagaimana JDT melangkah sejauh begini? Jawapannya kakofoni kebencian dan cacianlah yang menjadi rahsia rencah resipi.
“Rayyan, berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu”
Marcapada kebanyakan kelab-kelab bola sepak di Malaysia sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi tidak berusaha untuk mengejar impian kemudian hari. Indokrinasi itulah yang menyebabkan mereka sentiasa mundur, statik dan tidak mampu langsung untuk berdikari. Menikmati kejuaran sekali, bertahun-tahun khayal menikmati konfeksi. Hanyut dalam populariti, hingga hilang tersesat dalam dunia penuh fantasi.
Pastinya, perkara ini selamanya tidak sesekali diadaptasi dalam organisasi Harimau Selatan. Konseptualisasi falsafah JDT yang mahu menerapkan kemahuan untuk memenangi setiap kejohanan. Tidak pernah berpuas hati, kejayaan baharu menjadi suatu ketagihan dan obligasi. Keinginan tersangat tinggi untuk terus mencipta sejarah serta meninggalkan satu legasi.
“Kami benar-benar berada di kemuncak bola sepak Malaysia tetapi kisah kami tidak berakhir di sini. Kami tetap dahaga, komited dan bersemangat untuk mengekalkan JDT di puncak dan mencari jalan untuk memperkukuhkan lagi diri kami kerana itulah yang dilakukan oleh sang juara untuk kekal unggul”-27 November 2022, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Maka soalan keempat, sampai bila JDT akan kekal berada di tampuk tertinggi? Jawapannya tiada yang kekal di dunia fana ini namun selagi tiada munculnya pencabar sejati selagi itu tidak berganjak dalam posisi.
Rasionalnya atas segala dihuraikan, itulah solusi pragmatik bagi semua soalan Rayyan kemukakan. Kesimpulannya, JDT kuat kerana keutuhan mentaliti, JDT kuat kerana sempurnanya motivasi, JDT kuat kerana tingginya ambisi, JDT kuat kerana adanya figura sehebat Tunku menerajui organisasi!
Akhir kalam, saya menutup perbualan bersama Rayyan dengan satu wasiat. Bahawa dia adalah benefisiari naratif tersirat empayar yang hebat. Jangan sesekali lupakan bumi, walaupun kelak sudah sampai ke bintang. Berbanggalah dengan apa yang dikecapi, ceritakanlah kembali kepada generasi akan datang.
Sepuluh yang sempurna. Nikmatilah Rayyan!
“Saya percaya jika ditakdirkan kelak kita tidak memenangi apa-apa kejuaraan lagi, tiada siapa yang dapat memecahkan rekod ini”- 6 September 2022, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.
Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,
Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.
Artistik dari manusia satu denyut