DI MANA KITA SEMUA DALAM SEJARAH HARIMAU SELATAN

Mencipta sejarah adalah DNA yang sentiasa ada dalam Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak mula ditubuhkan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor pada 2013.

Bukan sahaja mencipta sejarah di dalam padang dengan memenangi semua piala yang dipertandingkan malah mencipta sejarah di luar padang dengan fasiliti lengkap dan canggih selain mempunyai akademi terbaik yang kini mula melahirkan bakat-bakat baharu.

Esok sekali lagi JDT akan mencipta sejarah tersendiri yang mungkin tidak mampu untuk diulangi dan diatasi dalam tempoh yang lama — menjuarai Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut dan dimanakah kita sebagai penyokong setia dalam sejarah ini.

PDRM FC mungkin bukan lawan yang menggiurkan untuk kita turun ke stadium tetapi itu bukan isunya namun apa yang menunggu di akhir wisel penamat itu yang bakal disimpan dan disemat dalam sanubari setiap penyokong JDT.

Bayangkan menjadi saksi mata pemain dan pegawai serta DYAM TMJ sendiri yang sama-sama berpesta meraikan kejayaan gilang gemilang ini di dalam Stadium Sultan Ibrahim ditemani sorakan padu yang diketuai Boys of Straits, alangkah bangganya hati ini.

 

Dikala ada penyokong yang gembira dapat menyekat kemenangan JDT, kita pula gembira menyambut kejuaraan yang sekali lagi melayakkan kita untuk beraksi di Liga Juara-Juara AFC musim hadapan. Sesuatu yang hanya diimpikan oleh pasukan lain.

Sejak 2013, kelab ini dibina diatas paksi penyokong setia yang sentiasa memenuhi stadium yang suasana luar biasanya turut diakui oleh lawan dari Jepun, Korea Selatan yang gerun apabila beraksi di Iskandar Puteri dan kita perlu ulangi perkara ini sebagai sebahagian daripada sejarah kelab hebat ini.

Dominasi sedekad JDT dalam bola sepak tempatan bukanlah mudah tetapi ianya adalah hasil kerja keras TMJ serta semua yang terlibat dengan kelab ini sama ada secara langsung atau tidak langsung termasuk para penyokong yang dianggap sebagai Keluarga JDT.

Ayuh beramai-ramai penuhkan stadium dan menjadi sebahagian daripada sejarah kelab. Sedekad dominasi yang mungkin tidak dapat diulangi lagi jadi marilah kita semua terus berikan sokongan kepada para pemain sebagai tanda kesetiaan kepada kelab dan juga boleh menjadi cerita kebanggaan yang boleh dikongsi kepada generasi akan datang.

Mari semua penyokong JDT, kita lihat, dengar dan rasakan Dominasi Sedekad JDT yang akan menjadi sebuah kisah klasik untuk masa depan. Apabila ditanya di mana anda dalam sejarah ini, jawablah dengan bangga, aku di stadium dan menjadi saksi kebanggaan yang membuat aku tersenyum.

Dapatkan tiket anda di https://ticket.tickethotline.com.my/club/johordarulta’zimii/08/home dan jadi sebahagian daripada sejarah. Luaskan Kuasamu Johor.