PERNAH KE KITA JANGKA? JDT MENANG TIGA KALI DENGAN JUARA KOREA SELATAN

Boleh ke? Inilah soalan yang sentiasa bermain di fikiran setiap kali mengenangkan ayat pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor mengenai harapan Baginda untuk melihat JDT beraksi di peringkat tertinggi Asia suatu ketika dulu. Kini JDT sudah lima musim beraksi di Liga Juara-Juara AFC (ACL). Pernah ke kita jangka?

Boleh ke? Persoalan yang sama bermain di fikiran ketika JDT mula-mula bermain di peringkat kelayakan kedua ACL di Thailand pada 2016 kerana kita sedar betapa kecilnya kelab ini berbanding nama-nama besar Asia. Kini, JDT bukan sahaja bertanding malah memenangi perlawanan di ACL. Pernah ke kita jangka?

Foto: Hairi Johari – HS

Boleh ke? Banyak perkara mula bermain di minda apabila JDT bertemu kelab Jepun buat kali pertama, Gamba Osaka di peringkat kelayakan ketiga ACL 2017. Kini, JDT setiap tahun JDT bertemu kelab Jepun dan menang keatas tiga kelab dari negara matahari terbit itu. Pernah ke kita jangka?

Boleh ke? Seringkali kita dengar di kalangan penyokong JDT yang tidak percaya dengan kemampuan pasukan untuk bertemu juara Korea Selatan, Ulsan Hyundai ketika diundi dalam kumpulan yang sama pada 2022. Kini, JDT sudah tiga kali tewaskan Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim dalam empat perlawanan. Pernah ke kita jangka?

Boleh ke? Satu lagi soalan apabila melihat nama-nama besar kelab Asia diundi bersama JDT di peringkat kumpulan dan peluang Harimau Selatan layak ke peringkat 16 terbaik. Kini, JDT sudah berjaya ke peringkat kalah mati ACL. Pernah ke kita jangka?

Foto: Hazri Sharani – HS

Semua yang kita takutkan dihadapi dengan tenang oleh sang Harimau Selatan. Berasal dari sebuah kelab kecil dari Asia Tenggara, kini JDT berjaya membuka mata penyokong bola sepak Korea Selatan dan mula mendatangkan gerun kepada lawan. Pernah ke kita jangka?

Nikmatilah malam gemilang Asia buat JDT ini. Sebagai penyokong, kurangkan bertanya tetapi lebihkan sokongan dengan hadir ke stadium. Buktinya sudah ada. Juara Jepun, juara Korea, juara China semuanya tumbang di Iskandar Puteri. Pernah ke kita jangka?

Jika ada satu soalan yang mungkin boleh ditanya ialah, boleh ke JDT menang kalau saya tidak ke stadium? Fikir-fikirkanlah.

Luaskan Kuasamu Johor.