May 27, 2020

HARIMAU SELATAN

Page Harimau Selatan

PENTINGNYA AURA JUARA DALAM DIRI PEMILIK PASUKAN

 

Bola sepak adalah sukan kegemaran seantero dunia. Jika ditanya kepada mana-mana penggemar bola sepak, impian memiliki sebuah pasukan bola sepak pastinya menjadi sasaran.

Bukan mudah untuk menjadi pemilik pasukan bola sepak terutama di zaman moden ini. Penyokong mahukan ‘instant success’ dan pemilik harus tahu bagaimana untuk mencari dana bagi memastikan kelangsungan kelab walau dalam keadaan apa sekalipun.

Pemilik pasukan perlu mempunyai aura juara di dalam diri mereka sendiri. Ini penting kerana tanpa aura ini, pemain dan penyokong tidak akan merasai kesungguhan dan keperitan yang perlu ditanggung sebelum bergelar juara.

Dalam konteks bola sepak dunia, pemilik minuman tenaga Red Bull, Dietrich Mateschitz memiliki banyak kelab bola sepak seluruh dunia di bawah jenama Red Bull. Kesemua kelab ini mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi dan juga satu piawaian juara yang ditentukan oleh beliau.

Jenama Red Bull bukan hanya boleh dilihat dalam bola sepak, malah ia turut ada di dalam sukan permotoran seperti Formula Satu dan juga sukan ekstrim. Selain suntikan dana, beliau juga mempunyai aura juara yang diperlukan untuk mendukung pasukan.

Selain itu, kelab-kelab bola sepak yang dimiliki oleh bekas pemain bola sepak yang pernah menjuarai pelbagai kejuaraan dilihat lebih mudah meraih kejayaan kerana DNA juara yang ada pada pemilik disampaikan terus kepada pasukan.

Sebagai contoh kelab Salford City yang dahulunya bermain di Liga Divisyen 7 England kini sudah dinaikkan pangkat ke Liga Divisyen 3 England setelah dibeli oleh Ryan Giggs, Paul Scholes, Neville Brothers dan Nicky Butt.

Ini kerana mereka mempunyai misi jelas dan mereka menyuntik aura juara yang ada pada mereka kepada para pemain sekaligus meyakinkan pasukan untuk mara lebih jauh. Mereka juga lebih realistik menetapkan sasaran kerana sedar dalam bola sepak, segalanya memerlukan masa.

Dalam konteks domestik pula, JDT beruntung kerana memiliki pemilik yang mempunyai aura juara. DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bukanlah calang – calang orang dalam sukan apabila Baginda sendiri sudah mengecapi pelbagai kejuaraan sebelum melibatkan diri dalam bola sepak.

Dalam sukan Polo, tiada siapa yang boleh menidakkan kehandalan Baginda dan ini terbukti dengan 50 kejuaraan yang pernah dimenanginya di seluruh dunia. Baginda malah mempunyai pasukan polo sendiri di Argentina yang diberi nama Johor Ellestrina.

Selain itu, dalam bidang ketenteraan juga Baginda banyak memperolehi pingat hinggakan Baginda layak mengetuai perbarisan berkuda pada Hari Kebangsaan India ketika Baginda menjalani latihan di sana.

Melalui disiplin ketenteraan dan aura juara menerusi sukan Polo, Baginda menceburi pula dunia bola sepak dan mencorakkan bola sepak Johor ke arah profesional dan berjaya bergelar juara kesemua piala yang dipertandingkan di Malaysia.

Kini kapal JDT berlayar dengan megah kerana mempunyai seorang Nakhoda yang tahu akan destinasinya dan sentiasa menyuntik aura kejuaraan kepada bala tenteranya. Segala ranjau terutama dari segi politik berjaya diharungi dengan tenang.

Jelaslah aura kejuaraan itu penting dalam diri pemilik pasukan. Jika mahukan pasukan anda menjadi juara, pastikan pasukan anda diketuai oleh seorang juara. Kerana sang juara bakal mencipta juara yang baru.

Tetapi jika anda memilih pemimpin yang juara dalam kategori memutar kata, maka nantikan pelbagai kejutan yang tidak disangka sangka.

Bak kata pepatah,

Gar-Gar Kata Gelegar, Rasuk Juga Yang Menahannya.

Fikir-fikirkan

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •