PENCALONAN ‘STADIUM OF THE YEAR’ BAWA NAMA JDT KE SELURUH DUNIA!

Bagaimanakah sebuah kelab yang baru berusia 9 tahun mampu meletakkan namanya gah bersama kelab-kelab gergasi antarabangsa yang lain sedangkan kelab tempatan lain masih bergelut?

Jawapannya adalah pada kebijaksaan pemimpin dan juga perbelanjaan pada tempat yang betul. Inilah formula yang digunapakai oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang namanya mula dikenali bukan hanya di Asean atau Asia malah kini ke seluruh dunia.

Pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor sentiasa mengambil tahu tentang semua perkara yang berlaku di dalam kelab dan memastikan wang yang dibelanjakan akan memberikan pulangan setimpal kepada kelab.

JDT adalah kelab tunggal di Malaysia yang mempunyai stadium sendiri yang canggih iaitu Stadium Sultan Ibrahim, stadium ini bukan sahaja gah di negara ini tetapi kini dicalonkan antara 20 stadium terbaik dunia menerusi laman web stadiumdb.com

Bayangkan stadium yang bakal menyambut ulang tahun pertama pada 22 Februari mampu untuk masuk ke senarai terbaik dunia dan bersaing dengan dua stadium Piala Dunia 2022 Qatar serta satu-satunya wakil dari Asia Tenggara.

Pencalonan ini bukan sahaja menaikkan nilai stadium itu sendiri tetapi juga nilai JDT dan juga meletakkan nama Iskandar Puteri dalam peta dunia. Satu kebanggaan buat negeri Johor dan juga buat Malaysia. Ianya juga selari dengan motto JDT, Luaskan Kuasamu.

 

Stadium yang dibina dengan kos RM200 juta ini adalah stadium khusus bola sepak yang mampu menganjurkan kejohanan bola sepak antarabangsa dengan kemampuan setaraf stadium Eropah mahupun Asia Timur.

Memberikan pengalaman menonton bola sepak yang mengagumkan, stadium yang dilengkapi pelbagai kemudahan moden ini turut mempunyai padang terbaik dalam negara dan sentiasa diselenggara bagi memastikan kualitinya.

 

Mari ramai-ramai mengundi untuk kategori popular sebelum keputusan sebenarnya yang akan ditentukan oleh panel penilai yang akan diumumkan pada 10 Mac 2021. Walau apa jua keputusan, Stadium Sultan Ibrahim dan JDT mampu tersenyum bangga kerana usaha yang dilakukan sudah membuahkan hasil.

Untuk mengundi Stadium Sultan Ibrahim, layari http://stadiumdb.com/competitions/stadium_of_the_year_2020

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply