MENGAPA JDT TIDAK BERDEPAN MASALAH KEWANGAN DI KALA PANDEMIK COVID-19

 

Bulan Ramadan 1441 tahun ini disambut dalam suasana yang cukup berbeza. Ekoran penularan pandemik Covid-19, ramai yang kehilangan sumber pendapatan dan ada pula yang gajinya dipotong ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang membataskan aktiviti di luar.

Tetapi jangan lah kita sedih mengenang nasib ini sebaliknya kita bersyukur kerana masih diberikan kesempatan menyambut puasa bersama keluarga tercinta.

Covid-19 mencetuskan huru-hara dalam senario bola sepak tempatan. Banyak pasukan yang mula menyatakan hasrat mahu MFL membatalkan saingan Liga Malaysia tahun ini ekoran dari masalah kewangan yang semakin meruncing.

Tetapi sebaliknya yang terjadi di Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Sekali lagi kita panjatkan syukur kepada Ilahi kerana kita dikurniakan sebuah organisasi yang lengkap dan berdaya saing dalam apa jua keadaan yang melanda.

Ramai mulut-mulut yang menyatakan JDT tidak mempunyai masalah kewangan kerana dimiliki oleh seorang anak Raja yang mempunyai banyak wang. Kenyataan ini kita tidak nafikan tetapi segala-galanya bukan kerana wang.

Tanpa pengurusan wang yang betul, JDT tidak akan berada di tahap sebegini. Seperti yang ditegaskan oleh DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, meletakkan wang pada tempat yang betul dengan orang yang betul adalah salah satu resipi kejayaan kewangan JDT.

Anda mungkin mempunyai wang tetapi jika salah pelaburan atau salah memilih individu yang mungkin akan gelap mata melihat wang yang banyak, anda tidak akan dapat melihat hasil seperti yang diharapkan.

JDT juga mempunyai jenama yang mempengaruhi keputusan para penaja korporat. Lihat sahaja bagaimana jenama jam tangan dunia, Hublot yang berani menaja JDT kerana mereka percaya akan kebolehpasaran pasukan dalam membantu melariskan jualan mereka.

Melalui wang penajaan ini, JDT melaburkannya di saluran yang betul seperti pembangunan Stadium Sultan Ibrahim, Pusat Latihan Padang JDT, Akademi JDT dan pelbagai lagi aset yang giat dibangunkan.

Hasil dari pembangunan aset-aset ini, JDT kini sedang dinilai oleh firma audit terkemuka dunia yang bakal mengiktiraf misi RM1 Bilion yang telah diumumkan oleh TMJ pada penghujung tahun yang lalu.

Bukan melihat dari sudut wang sahaja, tetapi jika dilihat dari sudut kemanusiaan pula, JDT adalah pasukan pertama yang bersetuju untuk membuat pemotongan gaji pemain, jurulatih dan kakitangan sebanyak 33% dan wang ini disalurkan kepada Tabung Bencana Negeri Johor untuk menangani Covid-19.

Ini antara sebab mengapa JDT mampu bertahan dikala pasukan lain sudah mula mengelat dalam pembayaran gaji kerana masih mengharapkan bantuan kerajaan negeri. Bukan hendak mendabik dada tetapi inilah masanya kita muhasabah diri dan jadikan JDT sebagai contoh dalam menjadikan bola sepak sebagai perniagaan dan bukannya gula-gula politik.

Akhir kata, semoga pandemik Covid-19 ini berjaya kita kalahkan dan bola sepak mampu bersaing seperti sedia kala. Ingatlah segala yang berlaku ini adalah ujian buat kita semua. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply