MENGALIR AIR MATA SAKSI SEJARAH BAHARU JDT

 

Satu perasaan yang sukar digambarkan oleh kata-kata. Tatkala letusan bunga api menerangi malam di Iskandar Puteri, air mata ini jatuh ke pipi kesan rasa terharu melihat kelab yang disayangi mencipta sejarah baharu.

 

Bermula seawal jam 5 petang, kawan sudah berada di perkarangan Stadium Sultan Ibrahim ini. Sambil menjengah karnival dan jualan-jualan yang diadakan, mata ini melirik-lirik kepada stadium sambil hati meronta tidak sabar.

Masuk sahaja ke stadium, satu perasaan kagum merasuki diri ini. Dengan pemandangan yang cantik, fasiliti yang baik mula terbit rasa bangga sebagai peminat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Melihat senyuman kesemua yang hadir setia di tempat duduk masing-masing dengan selfie dan wefie yang tiada henti membuatkan kawan terpesona dan rasa bersyukur dengan apa yang ada dihadapan mata.

Tepat jam 8 malam, penonton dihiburkan oleh tulang belakang JDT, Boys of Straits (BOS) dan seperti biasa mereka berjaya menggemakan stadium dengan sahutan dari penyokong lain yang sekian kali menjadi identiti penyokong JDT.

Ketibaan DYMM Sultan Ibrahim, Sultan Johor dan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Raja serta kerabat diraja dan VIP disambut dengan sorakan gemuruh tanda sayangnya Bangsa Johor kepada pemerintah negeri. “Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, Saya merasmikan Stadium Sultan Ibrahim dibuka secara rasmi” titah Sultan diikuti persembahan bunga api yang memukau.

Berada di dalam stadium dan melalui video dron yang disajikan, kawan dapat simpulkan ianya adalah satu upacara pembukaan rasmi stadium yang penuh gilang gemilang dan bertaraf dunia dan ketika itulah air mata terharu kawan menitis.

Ramai juga yang terlihat mengesat air mata kerana jelas segala susah payah dan perit getir yang ditempuhi penyokong JDT terbalas dengan pembukaan stadium ini. Jika kita rasa terharu bayangkan apa pula yang dirasa oleh TMJ sendiri.

Usai acara, kawan masih tidak berganjak dari kerusi. Rasa teruja, bangga, terharu, berlagak bercampur baur memakukan kaki dari bergerak. Setelah semua perasaan ini reda barulah kawan melangkah keluar dan kini tidak sabar untuk menonton perlawanan bola sepak pula.

Ayuh penyokong JDT, mari kita penuhkan rumah kita. Jangan bimbang kerana Dengkis dan Tepok akan sentiasa menjaga rumah baharu kita ini. Apa yang kita perlu ada bawa semangat dan jiwa apabila menyokong.

Buat TMJ dan JDT tahniah dari semua penyokong. Kami akan pastikan jasa ini terbalas dengan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply