MARI BAWA SEMANGAT LARKIN KE ISKANDAR PUTERI

 

Rasa teruja terhadap Stadium Sultan Ibrahim masih terasa dan kehangatan saingan Piala Sumbangsih kian membahang dengan kesemua mata bukan sahaja tertumpu kepada JDT dan Kedah, malah tumpuan turut terarah ke Stadium Sultan Ibrahim ini.

Esok bermulalah saingan CIMB Liga Super Malaysia 2020. Piala yang sudah kita dakap selama enam musim. Oleh itu esok bakal menjadi penentu sama ada kita sedia untuk gelaran yang ketujuh.

Semua maklum bahawa antara penyumbang kejayaan JDT adalah Sorakan Larkin. Sorakan berhantu yang mampu menggugat semua pemain lawan yang beraksi. Kini sorakan itu hanya tinggal sejarah dan kini sorakan itu beralih menjadi Sorakan SSI atau Sorakan Iskandar Puteri.

Penting bagi kita penyokong JDT untuk memastikan sorakan berhantu ini kekal walaupun di tempat baharu. Kita mahukan rasa gerun itu tetap dirasakan pasukan pelawat hingga menggangu persembahan mereka. Tetapi pastikan dengan usikan nakal dan bukannya maki hamun. Itu bukan penyokong JDT.

Jualan tiket atas talian laku bagai goreng pisang mawar dan dengan pihak lawan  yang merayu tambahan tiket demi menyaksikan stadium kebanggaan kita ini, pasti satu atmosfera yang menarik bakal dihasilkan.

Buat penyokong lawan, ayuh kita santuni mereka dengan ramah tamah dan tunjukkan bahawa semua adu domba di media sosial hanyalah bahan mainan netizen. Tunjukkan mereka kecanggihan rumah baharu kita dan biarkan mereka yang memuji dan mungkin terlopong dengan stadium kita ini.

Dua senario di atas jelas menunjukkan bahawa JDT ini adalah milik semua. Pastinya milik penyokong JDT tetapi kita harus berbangga kerana penyokong lawan juga berbondong-bondong mahu ke tempat kita. Ingat orang datang membawa rezeki dan membawa keluar dosa kecil kita.

Kepada yang hadir pastikan anda mematuhi semua arahan pihak berwajib dan marshall stadium. Jaga kebersihan dan bersedia untuk memberi sorakan tidak berbelah bahagi kepada wira Harimau Selatan di atas padang.

Arsene Wenger pernah berkata, Arsenal tertinggal jiwa mereka di Highbury ketika berpindah ke Emirates. Perkara ini perlu dielakkan oleh semua penyokong JDT. Kita harus kukuh di belakang pasukan dengan jiwa yang sama seperti di Larkin.

2020 seakan sama dengan musim 2013. Tiket habis dan stadium penuh untuk setiap perlawanan. Inilah dasar kepada kekuatan Sorakan Larkin. Dengan gabungan Boys of Straits (BOS) dan penyokong yang lain, kita akan jadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai kubu kuat kita. Ayuh Johor.

Luaskan Kuasamu.

Foto: Ezreen Abd Talip, Horsaini Isa & JST

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply