Kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) adalah hasil kerja keras dan sikap percaya diri yang sering diterapkan di dalam setiap diri pemain dan pengurusan JDT.
Bermula dengan cita-cita pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor pada 2013 yang mahu menyaksikan JDT beraksi di peringkat tertinggi kelab Asia, JDT tidak lagi menoleh kebelakang malah semakin melangkah jauh.
Ketika itu ramai yang skeptikal dengan cita-cita Baginda kerana ketika itu belum ada kelab Malaysia yang betul-betul mahu menjadikan pentas Asia sebagai batu loncatan untuk lebih dikenali dalam dunia bola sepak.
Penampilan pertama di Asia dalam Piala AFC 2015 menyaksikan JDT mampu bersaing dengan kelab-kelab tier kedua dan akhirnya JDT muncul juara dan sejak itu para penyokong mula memasang impian yang sama untuk lebih berjaya di Asia.
Ekoran dari kejuaraan itu, mata MA Malaysia di dalam ranking kelab Asia meningkat sekaligus memberikan JDT tiket ke peringkat kelayakan Liga Juara-Juara AFC bermula pada 2016.
JDT gagal pada halangan pertama kepada kelab Thailand dan pada 2017 berjaya melepasi pusingan pertama sebelum diajar bermain bola sepak oleh Gamba Osaka tetapi ianya tidak sedikit pun melunturkan semangat juang JDT.
Tahun 2018 pula menyaksikan JDT sekali lagi gagal di Thailand dan akhirnya pada 2019, JDT berjaya layak ke peringkat kumpulan dan diundi bersama-sama kelab Jepun, Korea Selatan dan China
JDT berjaya mencatat kemenangan pertama dalam ACL apabila menewaskan juara bertahan ketika itu, Kashima Antlers sebelum Suwon Bluewings pula menjadi mangsa pada musim 2020 tetapi agak hambar pad musim 2021 ekoran penularan pandemik Covid-19.
Hanya satu kemenangan berjaya dicatatkan ke atas kelab Thailand, Ratchaburi FC tetapi segalanya berubah pada musim 2022 apabila JDT dilihat menggila dengan kelebihan beraksi keenam-enam perlawanan di tempat sendiri.
Ketika undian dijalankan pada Februari, JDT diletakkan bersama-sama dua bekas juara ACL, Ulsan Hyundai dan Guangzhou FC manakala satu lagi pasukan adalah juara Liga J dua musim berturut-turut, Kawasaki Frontale.
Ramai yang menjangkakan JDT akan tersingkir awal kerana berhadapan gergasi Asia tetapi dengan persiapan pra-musim yang hebat dengan mencatat kemenangan ke atas Lokomotiv Moscow, JDT dilihat bagaikan harimau yang lapar.
Bersaksikan belasan ribu penyokong pada setiap perlawanan, JDT berjaya menumbangkan Guangzhou FC dua kali, Ulsan Hyundai dua kali dan berjaya mengikat Kawasaki Frontale sebelum tewas kepada lawan yang sama ketika menurunkan barisan kedua.
Kemenangan dramatik saat akhir ketika menewaskan Ulsan Hyundai pastinya akan terpahat dalam sejarah kelab apabila berjaya layak ke peringkat 16 terbaik buat kali pertama dalam empat penampilan di ACL.
Bukan hanya layak, tetapi JDT juga muncul sebagai juara Kumpulan I mengatasi kesemua bekas juara yang merupakan gergasi bola sepak Asia.
Kini JDT dipandang tinggi di peringkat Asia. Jika dahulu dianggap budak baharu, kini JDT sudah membuktikan kehadiran mereka di ACL bukanlah sekadar pelengkap jadual.
Namun, kelab ini tetap merendah diri. Mereka percaya dan hanya fokus kepada diri mereka sendiri sahaja. Walau apa pun yang dikata, JDT tetap JDT. Tahniah JDT, kelab kecil dari selatan ini kini 16 terbaik di Asia. Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.