JDT SUDAH TUNJUKKAN JALAN, SEKARANG TERPULANG PADA YANG LAIN

Kejayaan dan fasiliti terbaik yang dimiliki oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bukanlah perkara yang asing bagi peminat bola sepak di negara kita ini.

Semua cemburu dengan apa yang dimiliki dan dalam diam mahukan perkara sama berlaku kepada pasukan masing-masing tetapi masalah pengurusan, kewangan dan penajaan sering menjadi batu penghalang.

Menerusi lawatan Menteri Belia Dan Sukan, YB Dato Sri Reezal Merican Naina Merican ke fasiliti JDT timbul satu idea dan harapan agar semua persatuan bola sepak mampu menjadi seperti JDT menerusi statut yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia Dan Sukan (KBS).

KBS sebagai penaung segala persatuan sukan di Malaysia boleh bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mewujudkan satu undang-undang atau fasal yang mewajibkan setiap pasukan mempunyai struktur kewangan yang jelas dan kukuh.

Semua sedia maklum bahawa FAM terutama Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin sering membantu pasukan yang ingin mengubah pentadbiran pasukan dari FA ke FC. Pelbagai ruang perbincangan dilakukan bagi menaikkan mutu liga kebangsaan kita ini.

Pasukan-pasukan juga jangan malu untuk belajar dari JDT. Pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor sedia memberikan tips dan saranan bagaimana hendak menjadikan bola sepak sebagai perniagaan.

Jika semua perkara yang menjadi penghalang kemajuan bola sepak ini dapat diatasi, cerita kelab culas membayar gaji, rasuah, hutang melampau dan saman FIFA mungkin boleh menjadi sejarah yang tidak perlu dikenang.

Masalah yang menimpa legenda-legenda negara yang terpaksa bergolok gadai demi kelansungan hidup juga tidak patut muncul jika kebajikan semua pemain diberikan perhatian sepenuhnya oleh kelab dan masyarakat.

Ini lah perkara yang kita tidak mahukan dalam senario bola sepak negara. Penglibatan dan kerja keras semua pihak dari KBS, FAM, FA Negeri diperlukan bagi memastikan yang kita semua mempunyai arah tuju yang sama iaitu kemajuan bola sepak negara.

JDT sudah tunjukkan jalan bagaimana hendak menguruskan pasukan bola sepak yang berjaya bukan hanya di peringkat domestik tetapi hingga ke Asia. Kejayaan yang dilihat bukan sahaja di dalam padang malah hingga ke luar padang.

Sekarang terpulanglah kepada pasukan lain sama ada mahu mengikut langkah JDT atau masih bersikap tidak apa dan terus menuding jari. Apa yang penting pastikan ukur baju di badan sendiri.

Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply