JDT SENTIASA YANG TERBAIK

JDT SENTIASA YANG TERBAIK

Tahniah diucapkan kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya merangkul 9 anugerah utama di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018. 4 anugerah untuk kelab dan 5 anugerah untuk pemain membuktikan JDT sentiasa menyasarkan untuk menjadi yang terbaik dari semua segi.

Empat anugerah yang dibolot oleh JDT merangkumi kesemua elemen penting bola sepak moden. Media Sosial, Laman Web, Penyokong dan Pasukan. Anugerah ini adalah bukti bahawa jika kesemua elemen bergabung maka gelaran terbaik itu akan lebih mudah dicapai.

 

 

Anugerah Laman Web Terbaik dan Media Sosial Terbaik menunjukkan JDT sentiasa memberikan info kepada para penyokong. Hebahan yang sentiasa terkini dan laman web yang sentiasa dikemaskini menjadikan pencarian informasi pasukan menjadi mudah.

Ekoran dari mudahnya mendapatkan informasi, maka lahirlah penyokong yang bermaklumat tentang pasukan. Dengan itu terhasillah penyokong yang bersatu hati dan mendukung pasukan sama ada di tempat sendiri atau tempat lawan sekaligus merangkul Anugerah Penyokong Terbaik.

Penyokong yang terbaik adalah penyokong yang bukan hanya menyokong pasukan tetapi tampil berdisiplin dan bebas dari sebarang perkara negatif. Kemenangan ini bakal menaikkan lagi profil penyokong pasukan JDT yang bakal menggegar pentas ACL tahun hadapan.

Dengan hebahan dan maklumat pasukan yang terbaik ditambah dengan penyokong terbaik maka wujudlah kelab bola sepak terbaik. Bukan mudah untuk memperoleh anugerah ini. Segala kerja keras pengurusan dari dalam dan luar padang perlu diberi kredit oleh semua pihak.

 

 

Kelab bola sepak terbaik sudah pasti akan menghasilkan pemain terbaik. Hasilnya, Safawi Rasid berjaya menggondol tiga anugerah pemain terbaik dan masing-masing satu dari Farizal Marlias dan Hariss Harun. Anugerah ini adalah bukti bahawa jika anda ingin menjadi yang terbaik maka anda perlu bersaing dengan mereka yang terbaik juga.

Di JDT, menjadi yang terbaik dan memberi yang terbaik sudah ditanam di sanubari setiap pemain. Inilah apa yang sering disampaikan oleh pemilik pasukan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kepada setiap pemain dan pengurusan JDT.

 

 

Sudah tentu kemenangan anugerah-anugerah ini akan mengundang iri dikalangan pasukan lain yang bertanding, tetapi sedarlah bahawa mereka juga sebenarnya mahukan apa yang JDT ada.

Tahniah sekali lagi kepada JDT dan jadikan anugerah ini sebagai pembakar semangat untuk menjadi lebih baik pada tahun-tahun mendatang. Ingatlah memenangi anugerah itu mudah tetapi mempertahankannya adalah lebih sukar.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply