JDT – NILAI MURNI SEBUAH KELAB BOLASEPAK. DARI TELAGA YANG JERNIH, TAKKAN MENGALIR AIR YANG KERUH

“Apa yang dapat dicapai dengan melontarkan kata-kata negatif terhadap saya dan JDT? Tiada apa-apa. Tiada yang berubah, jadi mengapa membazirkan masa? Almarhum nenda saya pernah berkata, kalau kita hantukkan kepala ke dinding, siapa yang sakit? Dinding atau kepala sendiri?” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

JDT dilatih bersikap sombong? Di artikel ini, Page Harimau Selatan kembali memberi beberapa fakta bahawa kenyataan ini adalah halusinasi dan hanya dipengaruhi rasa benci dan tidak rasional.

Berikut adalah beberapa sumbangan yang paling diingati serta mampu memberi kesedaran yang amat tinggi mengenai peranan DYAM Tunku Mahkota Johor dan JDT dalam menggunakan kekuatan sukan menjadi transportasi memperkasakan kepekaan tanggungjawab sosial.

Tidak pernah menyusahkan, malah sentiasa melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR)

“Més que un club” atau bukan sekadar sebuah kelab bola sepak. Seperti Barcelona FC, prinsip itu menjadi akar tunjang dalam organisasi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). JDT juga berperanan lebih besar daripada sebuah kelab yang hanya berjuang dalam permainan bola sepak. Konseptual organisasi ini telah membawa bersama nilai-nilai murni yang telah dididik dalam kelab hebat ini.

Sejak dahulu lagi. Sejak bertahun-tahun dulu lagi. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) begitu sinonim dengan gerak langkah dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Ini terbukti dengan pelbagai sumbangan yang telah diberikan seperti sumbangan kepada mangsa bencana alam, pembangunan masjid, anak-anak yatim dan juga kepada individu-individu yang kurang bernasib baik.

Ini adalah kerana kepekaan atas tanggungjawab sosial yang telah diadun oleh DYAM Tunku Mahkota Johor sendiri kepada setiap individu yang ada dalam organisasi Harimau Selatan.

Bukan untuk mengungkit. Tetapi hanya itu mengimbas cerita dahulu. Kerana dengan mengimbas kisah-kisah dahulu, kita akan sedar segala yang telah kita terlupa. Sesungguhnya segala kebajikan dan tanggungjawab yang dilakukan dalam situasi terkini bukanlah hanya mengikut trend atau populariti tetapi ianya kerana desakan kesedaran yang kuat dalam keprihatinan membina hubungan erat, perkongsian rezeki, muafakat, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

Keprihatinan yang melangkaui sempadan Johor Darul Ta’zim

Masih segar dalam ingatan. Pada sekitar bulan disember dua ribu empat belas. Satu bencana banjir telah melanda negeri-negeri pantai timur Malaysia ketika itu. Puluhan ribu mangsa terbabit dalam bencana tersebut. Persiapan barangan sekolah, buku-buku antara material yang musnah dan perlu bantuan segera memandangkan musim baharu persekolahan akan bermula selang beberapa minggu lagi. DYAM Tunku Mahkota Johor yang mana ketika itu masih bergelar Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor telah berbesar hati memberi sumbangan derma kepada SUK Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk meringankan beban mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir di setiap negeri tersebut.

Kita bawa ke tahun dua ribu lima belas. Ketika itu satu tragedi gempa bumi berukuran 6.0 skala richter berlaku di sekitar Ranau, Sabah pada jam 7.15 pagi, hari Jumaat 5 Jun 2015. Pusat Gempa Bumi Dan Tsunami Nasional melaporkan gegaran dirasai di kebanyakan tempat di negeri tersebut. Bangunan seperti sekolah, kuarters guru antara yang terjejas teruk. Manakala jalan raya dan penghubung ke tempat-tempat utama juga menerima impak yang sama. Atas keprihatinan tersebut, DYAM Tunku Mahkota Johor telah menyerahkan sumbangan melalui PBNJ sebanyak RM150,000.00.

Hujan luar jangkaan dengan kuantiti yang banyak ditambah dengan kemuncak air pasang menjadi faktor utama banjir melanda Pulau Pinang pada November dua ribu enam belas. Bencana ini melanda negeri tersebut selama beberapa hari. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah berbesar hati bertindak memberi sumbangan untuk mangsa bencana banjir di Pulau Pinang. Sumbangan itu telah disampaikan secara terus kepada YB Dato’ Seri Farizan Bin Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 12 November 2017.

Pada dua ribu sembilan belas pula, JDT telah bekerjasama dengan Liridon Krasniqi apabila menyumbangkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Albania.

Kepantasan dalam membantu golongan yang ditimpa masalah dan malapetaka yang tidak terduga

Sekitar tahun dua ribu enam belas. Bencana kebakaran yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah telah mengejutkan banyak pihak. DYAM Tunku Mahkota Johor, pemain, staff Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) turut tidak terkecuali tampil untuk menghulurkan bantuan sumbangan.

Pada tahun itu juga, sebelum menjelang Aidilfitri pada tahun itu, ada diantara pemain-pemain dari beberapa pasukan dalam Malaysia telah dilaporkan mengalami masalah tunggakan gaji yang tidak berbayar dan tidak diselesaikan secara serius oleh pasukan yang mereka wakili. DYAM Tunku Mahkota Johor amat khuatir malah peka masalah yang mereka hadapi memandangkan hari raya semakin dekat. Atas keprihatinan tersebut, baginda telah bertindak menghulurkan sumbangan hari raya kepada pemain-pemain yang mengalami masalah tunggakan gaji. Sumbangan itu diserahkan melalui PFAM.

Kesedaran dalam membantu pejuang-pejuang kanser sejati

Tahun demi tahun terus berlalu. Namun misi DYAM Tunku Mahkota Johor untuk terus membantu golongan-golongan kurang bernasib baik ini terus progresif.

Masih ingat JDT All-Stars Friendly? Menerusi perlawanan amal ‘JDT All-Stars Friendly’, JDT telah berjaya menyumbang lebih RM600,000 kepada beberapa badan amal. Semua kutipan dari perlawanan tersebut didermakan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia dan ‘Women’s Aid Organization. Paling menarik, tambahan sebanyak RM80,000 dari pengurusan dan pemain JDT turut disumbangkan sebagai tanda prihatin mereka. Sumbangan-sumbangan tersebut telah banyak membantu dalam meringankan bebanan yang telah mereka hadapi.

Keikhlasan dalam menyokong golongan kurang upaya yang berbakat

Harimau Kudung. Selama ini tiada seorang pun sedar. Baik pakar bola sepak, baik pengkritik hebat bola sepak mahupun lagenda bola sepak tanah air tentang kewujudan pasukan ini jika tidak ditonjolkan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor. Pada tahun tersebut baginda berkenan menjemput pasukan itu datang ke Johor Baharu. Baginda juga berbesar hati menderma RM20,000 kepada skuad Harimau Kudung dan memberi kata-kata semangat agar mereka berjaya layak ke Piala Dunia Kudung Tahun 2022.

Akhir kata, sesungguhnya kewujudan JDT tidak pernah menyusahkan mana-mana pihak, tetapi kewujudannya membawa bersama spektrum-spektrum cahaya mewarnai hari-hari suram Malaya secara khususnya!

Saya bukan ahli politik tetapi saya juga ada agenda saya sendiri dan agenda saya adalah untuk kedaulatan negeri Johor dan kesejahteraan rakyat”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply