JDT JADI KEBANGGAAN RAKYAT BRUNEI DARUSSALAM

JDT LOGO AT LARKIN STADIUM

Saya berkesempatan ke Brunei Darussalam baru-baru ini atas tujuan tugas dan berasa kagum dengan rakyat negara ini yang memandang tinggi kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bermula perjalanan dari lapangan terbang ke hotel, pemandu DART (sistem seperti GRAB di Malaysia), mula bercerita tentang hal ehwal kedua negara hinggalah membawa kepada bola sepak.

Beliau amat mengagumi usaha yang dilakukan oleh JDT terutama usaha DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Raja dalam menaikkan imej bola sepak negeri Johor dan berharap perkara yang sama boleh berlaku di Brunei.

Brunei, sebuah negara monarki bangga dengan pencapaian TMJ yang dilihat sebagai anak raja yang berjiwa rakyat dan menggunakan bola sepak sebagai medium mendekatkan diri kepada rakyat.

Saya juga berpeluang untuk menonton dengan lebih dekat perlawanan pasukan kesayangan warga Brunei, DPMM FC yang berjaya menjadi juara Liga Perdana Singapura di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

DPMM FC atau Kelab Bola Sepak Duli Pengiran Muda Mahkota, milik DYTM Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah adalah sebuah kelab profesional yang bertanding dalam Liga Perdana Singapura dan diuruskan dengan cukup profesional berlandaskan sistem bola sepak moden.

Ketika di stadium, saya diperkenalkan kepada pihak pengurusan DPMM FC dan apa yang memeranjatkan adalah mereka sama-sama melaungkan ‘chant’ Ayuh Johor setelah mengetahui saya berasal dari Johor.

Terbit rasa bangga dalam diri saya kerana mereka sangat memandang tinggi kepada JDT dan berharap kelab ini mampu pergi lebih jauh di masa akan datang. Nama Safawi Rasid pula menjadi bualan mereka kerana mereka mengganggap Safawi luar biasa dan berada pada kelas tersendiri.

Malah ada antara mereka yang berseloroh mahu mengaturkan perlawanan persahabatan antara JDT dan DPMM FC. Malah mereka menggelarkannya Battle Royals. Satu idea yang cukup menarik dan ini mungkin terjadi jika mendapat persetujuan kedua-dua kelab.

Kepada warga Brunei, terima kasih atas hospitaliti anda dan semoga impian beraksi bersama JDT berjaya direalisasikan dan semestinya ianya adalah perlawanan yang ditunggu oleh semua. Luaskan Kuasamu Johor.

Shamsul, Johor Bahru

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*