“Apa yang dapat dicapai dengan melontarkan kata-kata negatif terhadap saya dan JDT? Tiada apa-apa. Tiada yang berubah, jadi mengapa membazirkan masa? Almarhum nenda saya pernah berkata, kalau kita hantukkan kepala ke dinding, siapa yang sakit? Dinding atau kepala sendiri? – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Baru-baru ini, satu kenyataan yang dimuat naik oleh halaman berpaksi sebuah parti politik yang kabur hala tuju terhadap DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Satu tuduhan tanpa fakta dan lebih bersifat sebagai agitasi kepada rakyat.
Dalam kenyataan tersebut, halaman media sosial itu mengaitkan MBJB dan JDT. Apa kaitan MBJB dan JDT? Malah apa kaitan MBJB dengan gaji dan stadium baharu JDT? Tiada kaitan. Malah JDT juga tiada langsung mempunyai kaitan bersama Kerajaan Negeri Johor sejak awal kewujudan lagi. Maka, boleh kita kategorikan ini sebagai kenyataan kurang ajar dan kurang cerdik?
“Tidak pernah menyusahkan, malah sentiasa melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR)”
Sejak dahulu lagi. Sejak bertahun-tahun dulu lagi. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) begitu sinonim dengan gerak langkah dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Ini terbukti dengan pelbagai sumbangan yang telah diberikan seperti sumbangan kepada mangsa bencana alam, pembangunan masjid, anak-anak yatim, pejuang kanser dan juga kepada individu-individu yang kurang bernasib baik.
Sumbangan baginda bersama JDT tidak terhad setakat di negeri Johor sahaja, malah lebih meluas kepada beberapa negeri yang dilanda tragedi dan malapetaka. Terlalu banyak. Terlalu banyak untuk disenaraikan satu persatu. Tetapi jika admin halaman politik itu mahu tahu, saya boleh nyatakan satu persatu. Minta sahaja, bila-bila masa saya boleh hujahkan.
Kesimpulannya, ini adalah kerana kepekaan atas tanggungjawab sosial yang telah diadun oleh DYAM Tunku Mahkota Johor sendiri kepada setiap individu yang ada dalam organisasi Harimau Selatan.
“Tidak pernah melupakan kewajiban dalam menyempurnakan Rukun Islam”
Sebelum terlupa, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor begitu sinonim dengan gerak langkah dalam memberi sumbangan peribadi dan prihatin atas kesusahan rakyat.
Ini terbukti dengan pelbagai sumbangan yang telah diberikan seperti sumbangan kepada mangsa bencana alam, pembangunan masjid, anak-anak yatim dan juga kepada individu-individu yang kurang bernasib baik. Tidak tamat disitu, baginda juga tidak lupa menunaikan kewajiban berzakat.
Sebagai contoh, sekitar 29 Mei 2019 DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menunaikan zakat berjumlah RM1 juta pada tarikh tersebut. Baginda yang juga merupakan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) turut mewakafkan elaun yang diterima baginda dari MAINJ kepada Maahad Tahfiz Sains Medik dan Antarabangsa Johor.
Bagaimana pula pemimpin yang diagungkan anda itu? Kalau ada, alhamdulillah.
Akhir kata, sesungguhnya kewujudan JDT tidak pernah menyusahkan mana-mana pihak, malah segala kebajikan dan tanggungjawab yang dilakukan baginda bukanlah hanya mengikut trend atau populariti tetapi ianya kerana desakan kesedaran yang kuat dalam keprihatinan seorang Putera Raja dalam membina hubungan erat, perkongsian rezeki, muafakat, saling menghormati dan memahami perit getir rakyat marhaen.
Maka, Janganlah jadi buta hati.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.