JDT DAN ACL 2021 – TIDAK ADA APA YANG PERLU DIMALUKAN

Semalam berakhirnya perjuangan JDT di persaingan ACL 2021. Selepas bertarung selama hampir 3 minggu di Thailand, JDT menang 1 kali, seri 1 kali, dan tewas 4 kali. Berbekalkan 3 jaringan gol dan bolos 9 kali ianya bukanlah satu keputusan yang memalukan.

Jika kita boleh imbas kembali sebelum ini, Pemilik JDT DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sudah berapa kali menekankan bahawa kejohanan ACL adalah kejohanan yang sangat kompetitif dan JDT memerlukan masa untuk menandingi pasukan-pasukan lain yang sudah lama memiliki kualiti liga dan budget pasukan yang lebih besar berbanding JDT.

 

Setiap perlawanan, JDT hampir menyaingi peratus kawalan bola berbanding pasukan lawan dengan purata 55% pasukan lawan dan JDT 45% di kawalan JDT. Kekalahan terbesar JDT adalah 1-4 kepada Poohang Steelers di mana 3 gol lawan menerusi penalti.

Perlawanan terakhir bertemu Ratchabury FC semalam pasti memberikan kesan kepada semua penyokong. Tetapi ianya pasti jadi sebaliknya jika Safiq Rahim berjaya membuat jaringan awal dan Akhyar Rashid dihujung perlawanan. Tetapi inilah bolasepak, tidak semua yang kita rancangkan terjadi seperti apa yang kita inginkan.

Penyokong mempunyai hak untuk menilai dan mengkritik taktikal perlawanan. Tetapi kita biarlah pasukan menentukan taktikal mereka selepas setiap data pemain diperolehi sepanjang sesi latihan hinggalah keputusan akhir kesebelasan ditentukan sehari sebelum perlawanan.

Isu anak emas pemain JDT, sudah tidak perlu lagi timbul kerana sebelum ini sudah ditekankan pemain-pemain perlu bersaing untuk merebut posisi mereka yang sudah pasti memiliki ramai calon di setiap posisi. Saya tertarik dengan hantaran IG Story Hariss Harun sewaktu meninggalkan JDT sebelum ini. Ucapan-ucapan farewell daripada rakan seposisi seperti Aidil dan Natxo, Hariss akan menjawab dengan ‘It was A Good Fight’, ianya satu persaingan professional di antara mereka untuk merebut posisi kesebelasan utama JDT.

Benarlah seperti apa yang dikatakan oleh TMJ semalam, JDT adalah satu pasukan yang bergerak seiring untuk mencipta kejayaan demi kejayaan. Rekod kejuaraan sebelum ini bukti betapa kuatnya kerja pasukan ini. Daripada Pemilik, Pegawai, Pemain dan Penyokong semuanya memainkan peranan untuk membina Empayar ini. Jika salah satu daripadanya tiada atau menarik diri adakah kita yakin empayar ini boleh terus bertahan.

 

Ada dakwaan terdapatnya tangan-tangan ghaib yang mengawal setiap pergerakan dan aturan pasukan. Buat saya tertanya-tanya, jika benar, kira hebatlah tangan ghaib ini kerana berjaya menghadiahkan 17 Piala Kejuaraan pasukan senior dan 10 Kejuaran pasukan remaja JDT kepada penyokong-penyokong JDT seluruh dunia. ‘Tangan ghaib’ ini berjaya menghadiahkan Stadium Sultan Ibrahim yang sangat cantik kepada semua. ‘Tangan ghaib’ inilah yang berjaya menarik pemain-pemain hebat tempatan dan antarabangsa bermain untuk JDT. ‘Tangan ghaib’ ini sanggup berkorban sendiri duit hampir 100 juta untuk sepanjang era transformasi JDT hingga kini untuk membawa nama JDT dan negeri Johor ke persada dunia.

Dalam waktu dunia yang sedang bergolak sekarang ini, di waktu rakyat memerlukan bantuan dan ihsan sudah pastinya khidmat pemimpin negeri seperti DYAM Tunku Mahkota Johor amat ditagihi. Sudah pastinya tanggungjawab TMJ untuk membantu rakyat terkesan sudah pasti menjadi agenda utama berbanding melayan isu-isu remeh lain.

Kita sebagai penyokong perlu terus memberi sokongan dan percaya dengan setiap perancangan pasukan. Walaupun dalam keadaan sekarang yang tidak berapa baik JDT masih berjaya menarik minat pelabur-pelabur luar untuk bersama dengan kejayaan-kejayaan JDT selepas ini.

Luaskan Kuasamu Johor.

 

 

 

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply