“Saya telah dilabelkan sebagai pembunuh bola sepak Malaysia dan kebanyakan pesaing saya dilabel sebagai wira.”- 19 November 2016, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Sudah lama rasanya saya tidak menulis artikel bersifat non-fiksi. Penulisan yang diisi dengan pendapat, gagasan, fikiran dan kritik terhadap suatu persoalan yang menjadi spekulasi.
Kita bermula dengan lafaz bismillah, supaya terkawal segala amarah. Takut terkeluar kata-kata sumpah seranah. Sampai reputasi kelak dipandang rendah.
Liga Malaysia ini zahirnya tenat. Tenat kerana wujud manusia-manusia yang tidak berakal apabila melontarkan persepsi beramuan laknat. Orang politik yang ada pandai memanipulasi sentimen mengikut acuan bangsat politik. Ditambah pula manusia-manusia yang menunggu masa sesuai untuk menyimbah parafin dan kerosin sebelum api dipetik.
“Bila si hati hitam membuka mulut”
Baru-baru ini satu kenyataan dari seorang Presiden sebuah kelab menjadi polemik. Dikatakan bahawa ada individu yang mengawal di sebalik perjalanan Liga Domestik. Diamaran pula bahawa jangan sampai dia terus mendedah segala. Apa yang dikatakan itu baharu sahaja bermula?
Maka apa tunggu lagi? Kalau ada bukti segeralah diberi? Atau adakah hanya sekadar kenyataan menutup segala kelemahan pasukan yang beliau kendali? Maka tuduhan palsu ini dijadikan baju kalis api?
Orang politik tetaplah orang politik. Tarik benang dalam tepung. Hanya suka pujian melambung. Masalah dalaman dalam persatuan dan ketidaktentuan prestasi, maka otak ligat mencari alasan basi. Walaupun jauh tersasar diluar pemikiran logikal. Mereka tetap merasakan mereka sentiasa berakal.
Inilah sampah dalam industri. Tiada nilai dalam geometri.
Tidak stagnasi disitu, muncul pula seorang pemerhati sukan untuk menguatkan cerita. Lantas peringatan dikeluarkan dengan serta merta. Katanya bola sepak Negara akan musnah. Jika ianya dibiarkan pasti menjadi parah.
Inilah jadinya apabila pemerhati tiba-tiba muncul dari alam berbilang. Menjatuhkan hukuman kerana terikut dakyah songsang kelompok petualang.
“Menjual ayat musnah supaya merancakkan melodrama”
Keliru. Buntu.
Adakah ketika ini bola sepak Negara berada dalam keadaan retrogresif?
Adakah ketika ini tiada perubahan yang dilihat progresif? Tidak sedarkah bahawa kita sudah mula menaiki tangga memecah dominasi gergasi Asia hingga dikenali dunia? Sehingga peta Malaysia sudah kembali timbul setelah lama tenggelam didasar sedalam Jurang Mariana Samudera India?
Tahukah anda? Kerana Tunku dan JDT, Malaysia mendapat mata lantas melonjak ke kedudukan sepuluh terbaik Asia dan nombor satu di Asia Tenggara? Butakah anda? Usaha Tunku dan JDT telah berjaya memberi peluang kelab lain mendapatkan slot automatik layak ke kempen kejohanan tertinggi di Asia mewakili negara?
Masih ingat? Suatu masa dahulu, berpuluh-puluh tahun sebelum ini, liga domestik yang dianjurkan oleh badan penganjur utama tanah air hanya dipandang sebagai sebuah liga yang tidak kompetitif, tiada berdaya saing dan tiada kualitatif. Ketika itu, liga juga ditunggangi dengan padatnya unsur-unsur birokrasi, malah penuh dengan aktiviti korupsi yang beroperasi aktif.
Ini semua angkara orang politik. Terhasil lah luka yang amat perit.
Namun segalanya telah berubah sekelip mata dan bola sepak kita akhirnya berjaya keluar dari jalan yang kabur. Apabila kebangkitan dan revolusi radikal JDT hasil dari gerak kerja sistematik DYAM Tunku Mahkota Johor. Secara tidak langsung, bola sepak tanah air menemui magikal apabila turut sama mendapat suntikan keyakinan. Sedikit demi sedikit nilai Liga Domestik Malaysia mula meningkat dan orang luar mula celik mata akan kewujudan persaingan.
Tapi sayang, kebanyakan orang Malaysia telah dibutakan segala kebenaran. Akibat terlalu obses dan paranoid keatas nama Tunku dan Harimau Selatan.
Mungkin inilah impak besar apabila hepatik dijangkiti kontaminasi. Ternyata ini adalah contoh tepat individu-individu yang sentiasa berhalusinasi. Tidak sedar apa yang diperkatakan, tidak tahu membezakan mana satu keburukan dan mana satu kebaikan.
Sakit. Kita dikelilingi orang yang sakit.
“Implikasi Halusinasi individu dalam kancah bola sepak Malaya”
Halusinasi.
Halusinasi dalam merencanakan perjalanan adalah punca utama kejatuhan sesebuah organisasi bola sepak di Malaya. Malah ini adalah ciri-ciri tegar seorang pemimpin gagal yang menjadi impak melemahkan daya. Kegagalan itu juga sering berkait rapat dengan kesilapan mengangkat individu atau golongan yang tidak mempunyai rasa cinta dan buta bola sepak. Malah mempunyai kepentingan sendiri dan tidak mempunyai tanda aras jelas selain hanya gemar menempelak.
Bersyukur kepada tuhan, JDT beruntung kerana mempunyai seorang tokoh pemikir yang hebat di dalam organisasi. Seorang pemimpin yang amat menakjubkan dalam memastikan Harimau Selatan terus melakar kejayaan lebih besar yang menjadi ambisi.
Tidak hairanlah kita sentiasa dicemburui. Sampai kiamat perasaan itu tidak boleh diubati.
Akhir kalam, jangan hati duka nan diratah, jangan buruk muka cermin dibelah. Katakanlah apa sahaja, selamanya JDT, sampai mati JDT.
“Terdapat jurang yang besar antara anda dan JDT” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.
Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,
Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.
Artistik dari Manusia Satu Denyut.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.