ADA APA DENGAN ‘THE BOSS’

Bagaimana kegilaan sebuah impian merevolusi sebuah kelab tidak dikenali jadi 16 terbaik Asia.

Oleh: Zurina Waji

Kau tengok je, berapa lama boleh tahan? Esok dah bosan, ditinggalkan aje.”

Sudah diduga sebetulnya nada sinis yang berlegar saat diberitakan seorang putera raja muda bakal mengambil alih sebuah kelab bola sepak di selatan tanahair. Skeptikal, antaranya andaian baginda yang dibesarkan dengan kemewahan tidak akan tahan berdepan kepayahan.

Masih, satu negara penasaran siapa di sebalik pemegang gelar Tunku Mahkota Johor itu.
Saya, kali pertama, bersua DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sekitar 10 tahun lalu selepas diminta membentangkan idea bagi menggerakkan kempen penjenamaan semula Johor FC.

Minggu berikutnya, saya kembali ke Johor Bahru untuk sesi penggambaran yang dihadiri, antaranya pengendali pasukan, ketika itu, Fandi Ahmad yang juga pemain legenda Singapura.

Pagi penggambaran hujan renyai di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos yang biasa disebut Stadium Larkin. Reaksi para pegawainya membuat saya resah memikirkan kemungkinan sesi ditunda sedang keterujaan sudah membuak kerana keterbukaan Tunku Ismail terhadap konsep yang dipersembahkan, sebelumnya.

Di padang yang sedikit becak, saya tertanya sendiri apakah saya telah silap percaturan kerana didorong nostalgia stadium yang pernah menjadi saksi kegemilangan sebuah pasukan bola sepak namun rupanya sudah lama sepi tanpa penyokong.

Saya sebenarnya tidak menduga kegembiraan meraikan gol kemenangan Johor yang ditonton semasa skuad di bawah kendalian Wan Jamak Wan Hassan dengan trio Abbas Saad, Alistair Edwards dan Ervin Boban hampir terlupakan. Stadium itu, detik hati saya, seolah-olah sudah mati.

Jujur, memerhati figura itu melangkah penuh karisma dalam sut gelapnya, sebagaimana yang dilontarkan pada pertemuan sebelumnya, membuat panahan matahari pagi di tengah renyai halus rasa menyenangkan. Sering mengendalikan sesi seumpamanya, baik membabitkan pemimpin negara mahu pun selebriti, saya tahu saya tidak silap pandang apabila pesona berada di depan mata.

Pagi itu, saya berharap nostalgia Stadium Larkin akan memutikkan keajaiban. Dan kepada pesona yang bakal meraikan ulang tahunnya yang ke-29 itu, harapan disandarkan tanpa dapat menepikan persoalan apakah pangeran yang dianggap mentah itu mampu mengembalikan Johor ke takhtanya?

Sungguh bukan anak Johor, saya harus mengakui hanya seorang seperti Tunku Ismail berupaya menerapkan semangat Bangsa Johor nya menerusi sukan bola sepak yang telah dijenamakan sebagai Johor Darul Ta’zim atau JDT, membawa roh Harimau Selatan yang menggerunkan lawan.

Sebagai Editor Pengurusan majalah Harimau Selatan kemudiannya, iaitu majalah rasmi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, saya melihat bagaimana Larkin diberi nyawa kembali sehingga menjadi igauan siapa yang datang bertandang.

Jelas di mata, pada awal kebangkitan JDT, bagaimana paluan gendang yang mengiringi laungan “Ayuh, Johor! Luaskan Kuasamu Johor!” dan gema sahutan “Ale! Ale!”, juga gulungan tisu putih dibaling serentak ke trek pada pembukaan game dan nyalaan suar, menjadikan momen itu sendiri cukup legendaris.

Baru ini, apabila JDT diberitakan muncul sebagai antara 16 terbaik Asia selepas menewaskan bekas juara, Ulsan Hyundai pada Liga Juara-Juara AFC (ACL), saya disapa cerita yang pernah dikongsi Tunku Ismail. Iaitu, pengalaman latihan ketenteraan yang dijalaninya di Indian Military Academy di Dehradun, India sehingga menempa sejarah sebagai rakyat asing pertama mengetuai pasukan tentera India pada perbarisan Hari Kebangsaan negara itu pada 2007.

Ia cerita yang mempengaruhi saya untuk menggunakan foto Tunku Ismail dalam sut gelapnya dengan berlatar bendera Johor yang dirakam pada pagi nostalgia di Larkin, diiringi baris “merevolusi bola sepak Johor dengan keringat, patriotisme, berjuta $” sebagai cover pertama majalah Harimau Selatan pada Julai 2013.

Pernah, saya ditanya bagaimana Tunku Ismail melakukan apa yang dilakukan dengan JDT, hari ini. Jawap saya, “Kerana Baginda, The Boss.”

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply