HARAPAN DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR TERHADAP PENYOKONG JDT

Tiada kelab dalam negara ini yang pemiliknya membuat sesi terbuka bersama penyokong dan boleh bertanya apa jua soalan berkenaan kelab kepadanya. Hanya di Johor sahaja perkara ini berlaku. Inilah keunikan yang ada pada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT)”

Inilah kata-kata keramat yang dilafazkan oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor pada sesi bertemu wakil-wakil penyokong yang diadakan di JDT Cafe malam semalam.

Benar apa yang Baginda katakan. Perkara ini bukanlah asing di JDT. Malah ianya adalah aktiviti tahunan yang boleh dianggap sebagai lambang utuhnya ikatan Keluarga JDT yang terlebih dahulu wujud sebelum adanya istilah Keluarga Malaysia.

Menjawab soalan dari penyokong tentang apa yang perlu dilakukan oleh penyokong JDT untuk berada sama tahap dengan tahap profesionalisme yang telah dicapai kelab, Tunku Ismail tenang menjawab bahawa penyokong JDT perlu mempunyai identiti tersendiri.

Apakah yang dimasukkan sebagai identiti tersendiri ini. Maksudnya adalah, setiap penyokong harus bersikap profesional dan bernaung di bawah satu bendera iaitu bendera negeri Johor.

Apabila semua penyokong bersatu, maka ianya akan menjadi tulang belakang buat para pemain untuk memberikan aksi terbaik di atas padang. Penuhkan stadium kerana ianya adalah lambang kemenangan buat penyokong JDT.

Baginda juga tidak kisah jika kelab dikritik oleh penyokong sendiri tetapi ianya perlulah dilakukan dengan fakta dan bukannya bersikap semberono dan tanpa hala tujuan. Pelbagai statistik dan fakta telah dikongsi oleh laman rasmi kelab dan ini adalah fakta yang tidak boleh dinafikan.

Selain itu, Baginda juga menasihatkan agar penyokong JDT menjaga emosi dan jangan melayan hasutan di media sosial dengan memberikan reaksi yang kurang bijak. Ini kerana ianya akan memberikan gambaran buruk buat kelab dan juga penyokong JDT sendiri.

Kita juga jangan lupa dimana kita bermula. Dari tiada apa-apa pencapaian hingga kepada mencipta puluhan rekod di peringkat domestik, serantau dan juga Asia. Dari stadium yang buruk kepada stadium bertaraf dunia.

Inilah harapan yang diinginkan oleh DYAM TMJ terhadap penyokong JDT. Seperti apa yang Baginda titahkan, inilah keunikan yang ada pada kelab ini. Perkara ini perlu dipertahankan hingga generasi yang akan datang. Berbanggalah kita penyokong JDT. Luaskan Kuasamu Johor. – HS

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply