DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR – SEBUAH PERJUANGAN IKHLAS YANG DIHIJAB

“Ya Allah, TMJ sangat baik. Baginda sentiasa memikirkan keadaan rakyat Johor dan seluruh Malaysia. Semasa pertemuan, kami berbincang panjang bagaimana mahu membantu rakyat yang dalam kesusahan dan menjaga martabat agama Islam, mendidik anak muda, serta bagaimana mahu meningkatkan kemajuan institusi pendidikan”- Ustaz Ebit Lew

Itu adalah petikan kata-kata Ustaz Ebit Lew, seorang figura yang tidak lekang dengan usaha-usaha kebajikan dalam membantu rakyat Malaysia walaupun berlainan ras dan agama selepas pertemuan bersama DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Seperti Ustaz, DYAM Tunku Mahkota Johor juga representasi seorang Putera Raja bersifat altruistik dan mempunyai empati, simpatetik serta responsif terhadap rakyat baginda. Baginda terlalu menyayangi rakyat khususnya bangsa Johor sehingga sanggup menghabiskan sebahagian masa terluang bersama rakyat baginda.

PUTERA RAJA YANG MEMPUNYAI AMBISI MULIA

Sejak dahulu lagi. Sejak bertahun-tahun dulu lagi. DYAM Tunku Mahkota Johor begitu signifikan dengan gerak langkah dalam memberi sumbangan peribadi dan prihatin atas kesusahan rakyat. Sumbangan yang baginda kurniakan juga tidak terhad pada sesuatu perspektif sahaja tetapi merangkumi satu asosiasi yang amat luas.

Ini terbukti dengan pelbagai sumbangan yang telah diberikan. Maka di artikel ini kami mengimbas kembali sumbangan yang diberikan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor.

MEMBANTU RAKYAT JOHOR DALAM KESUSAHAN

Pada 14 Mac 2019, DYAM Tunku Mahkota Johor berkenan memberi sumbangan bantuan kepada mangsa bencana pencemaran sisa toksik Pasir Gudang di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor.

Sekitar 14 Disember 2019, baginda telah mengurniakan sumbangan peribadi kepada mangsa bencana banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Kg. Sungai Siam, Kulai sejurus pulang dari program di Tanjung Emas, Muar.

Pada 16 Disember 2019, DYAM Tunku Mahkota Johor mengurniakan sumbangan peribadi kepada mangsa bencana banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang dan Balairaya Kg Baru Sg. Mas, Kota Tinggi

MEMBANTU RAKYAT MALAYSIA DALAM KESUSAHAN

Pada sekitar bulan Disember 2014. Satu bencana banjir telah melanda negeri-negeri pantai timur Malaysia ketika itu. Puluhan ribu mangsa terbabit dalam bencana tersebut. Persiapan barangan sekolah, buku-buku antara material yang musnah dan perlu bantuan segera memandangkan musim baharu persekolahan akan bermula selang beberapa minggu lagi.

DYAM Tunku Mahkota Johor telah berbesar hati memberi sumbangan derma kepada SUK Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk meringankan beban mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir di setiap negeri tersebut.

Pada tahun 2015, ketika itu satu tragedi gempa bumi berukuran 6.0 skala richter berlaku di sekitar Ranau, Sabah pada jam 7.15 pagi, hari Jumaat 5 Jun 2015. Pusat Gempa Bumi Dan Tsunami Nasional melaporkan gegaran dirasai di kebanyakan tempat di negeri tersebut. Bangunan seperti sekolah, kuarters guru antara yang terjejas teruk. Manakala jalan raya dan penghubung ke tempat-tempat utama juga menerima impak yang sama. Atas keprihatinan tersebut, baginda telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM150,000.00.

MEMBERI SUMBANGAN KEPADA ASNAF DAN MEREKA YANG MEMERLUKAN BANTUAN

Pada 15 Mei 2019, DYAM Tunku Mahkota Johor memberi sumbangan kepada asnaf  ketika majlis santapan berbuka puasa di Masjid Riyadus Solihin, Pintas Puding, Parit Raja, Batu Pahat.

Pada 19 Mei 2019, baginda dan YM Che Puan Khaleeda berangkat hadir menziarahi anak-anak yatim di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Mersing. DYAM Tunku Mahkota Johor turut meluangkan masa melawat asrama putera dan puteri serta memberikan sumbangan kurnia kepada anak-anak yatim dan pengurusan pertubuhan kebajikan tersebut

Pada 30 Mei 2019, DYAM Tunku Mahkota Johor hadir melawat ke Pusat Jagaan Bakti Murni Warga Emas dan Orang Kurang Upaya. Baginda turut memberikan sumbangan kepada 32 penghuni dan kakitangan pusat jagaan tersebut bagi meraikan perayaan Aidlifitri

Sekitar Julai dan Julai 2019 (Bulan Ramadhan)- DYAM Tunku Mahkota Johor telah meluangkan masa berangkat hadir ke majlis santapan berbuka puasa di daerah-daerah negeri Johor. Baginda juga berkenan untuk mengurniakan sumbangan peribadi kepada Asnaf di semua lokasi-lokasi yang dilawati. Antara lokasi bertuah tersebut adalah Masjid IOI, Segamat, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Muar, Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor.

MEMBERI SUMBANGAN UNTUK KEPERLUAN PERKEMBANGAN AGAMA ISLAM TERMASUK ORANG ASLI MALAH TIDAK LUPA DALAM KEWAJIBAN DALAM ZAKAT

Pada 29 Mei 2019, DYAM Tunku Mahkota Johor menunaikan zakat berjumlah RM1 juta pada tarikh tersebut,. Baginda yang juga merupakan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) turut mewakafkan elaun yang diterima baginda dari MAINJ kepada Maahad Tahfiz Sains Medik dan Antarabangsa Johor.

Untuk jumlah kumulatif lebih tepat baginda sepanjang 2017, 2018, 2019 sahaja hampir mencecah RM 5 juta!

5 November 2019, DYAM Tunku Mahkota Johor menunaikan zakat kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk diberikan kepada asnaf-asnaf dan badan kebajikan yang layak menerima. Baginda turut berkenan lima buah masjid di daerah negeri Johor dinaikkan taraf untuk kemudahan rakyat beragama Islam menunaikan solat fardu Jumaat pada masa akan datang.

Pada 22 Ogos 2019, DYAM Tunku Mahkota Johor menyampaikan sumbangan kurnia kepada para Mualaf serta Anak-Anak Orang Asli Kampung Simpang Arang, Gelang Patah, Johor

MEMBERI SUMBANGAN DAN MENGHARGAI WIRA NEGARA

DYAM Tunku Mahkota Johor juga tidak melupakan jasa-jasa pewira negara. Pada
3 Mac 2019, satu apresiasi keatas wira negara apabila baginda berkenan menyampaikan sumbangan kurnia kepada keluarga anggota bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Bahru, Larkin. Ini bukan pertama kali penghargaan diberi kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Imbas kembali, pada sekitar Oktober 2018, DYAM Tunku Mahkota Johor berkenan memberikan sumbangan kepada waris enam anggota bomba yang terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.

MEMBERI SUMBANGAN DAN BANYAK MEMBANTU DALAM MENGAWAL PENDEMIK COVID-19 DI NEGERI JOHOR

Pada Mac 2020, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga merupakan Pro Canselor UTHM telah mengurniakan sumbangan peribadi berjumlah RM50 ribu untuk meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar dan keluarga staf UTHM yang terlibat dengan Covid-19.

Pada bulan yang sama juga, DYAM Tunku Mahkota Johor mengurniakan sumbangan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor, daerah-daerah dan pelajar-pelajar bagi meringankan beban yang dihadapi dalam situasi COVID-19

Tidak berhenti disitu, pada akhir Mac 2020, DYAM Tunku Mahkota Johor berkenan mengurniakan beberapa siri sumbangan pelbagai peralatan perubatan bagi menangani wabak Covid 19 Negeri Johor berupa 30 unit Blood Pressure Monitoring Set, 55 unit Infrared Thermometer, 31 unit Glucometer, 35 unit Pulse Oxymeter. Peralatan tersebut telah diagihkan untuk kegunaan hospital Covid-19  Negeri Johor; Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan Hospital Permai Johor Bahru.

Akhir penulisan, sesungguhnya segala kebajikan dan tanggungjawab yang dilakukan baginda bukanlah hanya mengikut trend atau populariti tetapi ianya kerana desakan kesedaran yang kuat dalam keprihatinan membina hubungan erat, perkongsian rezeki, muafakat, saling menghormati dan memahami perit getir rakyat marhaen.

“Saya bukan ahli politik tetapi saya juga ada agenda saya sendiri dan agenda saya adalah untuk kedaulatan negeri Johor dan kesejahteraan rakyat”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply