DI MANAKAH KEDUDUKAN JDT JIKA CIMB LIGA SUPER MALAYSIA 2020 BERMULA DALAM MASA TERDEKAT?

Malaysian Football League (MFL) tekah menghebahkan kepada umum bahawa akan berusaha meneruskan kalendar pertandingan CIMB Liga Super Malaysia antara 1 dan 2 September 2020. Liga dijangkakan berlangsung lebih kurang 25 hari apabila berakhir pada 26 dan 27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga sahaja.

Menerusi format itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan. Namun jika dilihat situasi terkini, mungkin ada harapan bagi Liga untuk bermula lebih awal lagi.

Jika perancangan ini berjaya direalisasikan, apa gambaran perjalanan liga kelak? Ini antara prediksi Masharakat Bola.

JDT TERUS MENDOMINASI

Mengikut situasi dan keadaan semasa, JDT akan terus mencengkam takhta CIMB Liga Super Malaysia 2020. Dengan persediaan yang dilakukan tanpa kelalaian oleh barisan kejurulatihan dan dipantau ketat oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, pemain-pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat sentiasa bersedia untuk memulakakan aksi bila-bila masa. Hampir keseluruhan pemain-pemain Harimau Selatan dilihat cukup mantap untuk diturunkan sepanjang baki perlawanan.

Latihan intensif berjadual yang konsisten dilakukan secara talian sejak bermula fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjadikan tiada masalah untuk JDT terus agresif mengutip mata-mata penting dalam tujuh perlawanan berikutnya.

TIADA PESAING YANG BENAR-BENAR MEMBERI CABARAN

Tugas mudah menanti JDT disulami dengan perit derita ditanggung beberapa pasukan pesaing yang dikatakan akan memberi cabaran kepada skuad Harimau Selatan pada musim 2020.

Jika menjadi kenyataan Liga bermula September ini, adalah satu malapetaka dan bencana bagi beberapa pasukan pesaing apabila ada diantara mereka kini berdepan konflik tunggakan gaji. Perkara ini jelas melanggar Artikel 13 Peraturan Status Dan Pemindahan Pemain Fifa di mana majikan tidak menghormati kontrak pemain.

Dengan itu, pasukan itu bukan sahaja sedang bergelut dengan bebanan hutang ekoran tunggakan gaji pemain, malah mereka juga berdepan dengan penolakan kutipan mata, lesen kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ditarik serta lebih teruk berhadapan hukuman penggantungan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sekiranya isu tunggakan gaji pemain diheret ke pengetahuan Fifa oleh pemain import mereka.

BARISAN ORGANISASI MUFLIS DAN BANKRAP

Keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi rujukan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL dalam menyusun perjalanan liga musim 2020. Salah satunya adalah setiap perlawanan akan diadakan mengikut SOP Perlawanan Tanpa Penonton seperti yang ditetapkan oleh MKN dan KKM disebabkan penularan wabak pandemik COVID-19.

Ini salah satu malapetaka buat pasukan dan kelab bola sepak Malaysia. Dengan keadaan dimana kebanyakan kelab dan pasukan menerima musibah penaja menarik diri, tiada dana kerajaan, tiada sumber kewangan yang kukuh, menyaksikan kelab dan pasukan ini akan jatuh satu persatu.

Namun bagi JDT pula, dengan persediaan dan perancangan yang begitu teliti sejak bermula tahun 2015, segalanya seakan menjadi penyelamat buat kelab dari selatan tersebut. Dengan sumber kewangan kukuh yang telah disuntik, JDT pasti berjaya bertahan dalam masa yang lama. Kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya oleh penaja dan pelabur antara faktor utama JDT masih utuh melawan kesan kolektif globalisasi ini.

Akhir kata, kesimpulannya jika CIMB Liga Super Malaysia 2020 bermula dalam masa terdekat ini, apa akan jadi?

Jawapannya, JDT masih juara bertahan, manakala pasukan lain mungkin akan hanya tinggal nama dalam kenangan.

Artikel Asal #MasharakatBola

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*