DI MANA ADA BOYS OF STRAITS DI SITU JOHOR RAIH KEMENANGAN

Kesetiaan Boys of Straits (BOS) kepada sukan negeri Johor tidak boleh dipertikai dan didebatkan. Ini kerana mereka sentiasa ada dan tidak pernah jemu menyokong walau di mana pun pasukan Johor beraksi.

Minggu ini sahaja tiga acara sukan melibatkan pasukan Johor mengambil tempat dan tahukan anda, kesemua acara ini dihadiri oleh Boys of Straits tidak kira di Johor Bahru, Shah Alam mahupun Kuala Lumpur.

Tambah menarik, ketiga-tiga acara sukan ini menjadi milik Johor dan keterujaan para penyokong bertambah dengan kehadiran budak belakang tiang gol dengan seragam hitam ini.

Bukan hanya penyokong malah para pemain juga tambah bersemangat dengan sorakan mereka dan akhirnya berjaya memberikan aksi terbaik sekaligus bergelar pemenang ataupun muncul juara.

Bermula pada hari Jumaat di mana Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah membenam cabaran Selangor dalam aksi Liga Super, BOS seperti biasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dan menunjukkan kepada lawan apa itu erti kegilaan.

Tidak cukup dengan bola sepak, mereka bergerak ke Shah Alam pada Ahad untuk memberikan sokongan kepada skuad Ragbi B19 Johor yang bertanding dalam perlawanan akhir Kejohanan Harps Mr B19 2022 dan sekali lagi Johor muncul juara menewaskan Negeri Sembilan.

Bagaikan tidak mengenal lelah, selesai di Shah Alam, BOS mula melangkah ke Bukit Kiara pula untuk memberikan sokongan kepada skuad bola jaring Johor Jewels. Sorakan dan dentuman gendang serta dram dilihat berjaya menaikkan semangat Jewels untuk muncul juara menewaskan Kuala Lumpur.

Kehadiran BOS bukan hanya sebagai pasukan sorak tetapi penglibatan mereka disambut mesra oleh para pemain yang turut sama-sama meraikan kemenangan dan menyanyikan lagu Bangsa Johor dalam keadaan yang cukup mengujakan dan menaikkan bulu roma.

Kesetiaan ini tidak dapat dibeli dengan wang ringgit sebaliknya ia datang dengan jiwa yang menebal dan penuh kebanggaan untuk menyokong Johor. Perkara ini perlu diteruskan terutama oleh generasi akan datang kerana sukan tidak akan meriah tanpa penyokong.

Tahniah sukan Johor. Tahniah Boys of Straits. Anda buktikan ‘kami ada kami ada setia bersamamu Johor’. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply