Tiada siapa yang pernah memandang pasukan bola sepak negeri Johor apabila tiada kejayaan yang boleh diceritakan sehingga semuanya yang berkaitan boleh dianggap seperti hidup segan mati tak mahu.
Namun lanskap bola sepak Johor berubah apabila diambil alih oleh individu hebat, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang faham apa itu bola sepak moden.
Sejak mengambil alih pada 2013, JDT tidak lagi menoleh kebelakang sebaliknya terus mengorak langkah demi langkah yang tidak tercapai akalmu jika dibandingkan dengan apa yang berlaku 10 tahun lalu.
Detik-detik sambutan kejuaraan saban tahun dinanti-nantikan para penyokong kerana ianya adalah satu sambutan hebat yang menjadi bualan ramai dan menjadikannya sebuah kisah klasik untuk masa depan.
2014, 2015, 2016, 2017, 2018, 2019, 2020 dan 2021 menjadi saksi lapan tahun gemilang JDT bergelar juara liga dan semuanya disambut secara gilang gemilang dengan pendekatan ‘JDT doing JDT things’.
Sambutan kejuaraan ini bukan sahaja antara yang terbaik dalam sukan bola sepak malah tidak keterlaluan dikatakan antara yang terbaik dalam sambutan industri sukan tanah air.
Persembahan bunga api yang gemerlapan dengan durasi yang paling menjadi ikon sambutan kejuaraan JDT. TMJ tidak pernah lokek untuk berbelanja berkongsi kejayaan bersama-sama penyokong hingga meninggalkan kuntuman senyum yang mekar di wajah masing-masing.
Tidak cukup dengan bunga api, persembahan dron yang menakjubkan pernah diadakan hingga mencatat rekod Malaysia dan diabadikan dalam Malaysia Book of Records. Semuanya ini hanya di JDT.
Sambutan JDT tidak akan lengkap tanpa persembahan artis tempatan mahupun luar negara. Tidak cukup dengan artis, kehangatan malam sambutan juga bertambah apabila figura kejayaan JDT, DYAM TMJ tidak pernah ketinggalan turut sama menyambut kejuaraan yang bukan mudah untuk dimenangi dan untuk dipertahankan.
Itulah JDT. Kejayaan di dalam dan luar padang sentiasa seiring dan melibatkan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung kepada kejayaan kelab di bawah kata-kata keramat JDT Family.
2022 bakal mencatat sejarah baharu apabila sambutan selepas ini mungkin berlainan tanpa kelibat DYAM TMJ yang mengumumkan Baginda akan melepaskan urusan harian kelab baru-baru ini untuk fokus dengan tugas-tugas baginda bersama rakyat Johor.
Namun begitu kita mesti tetap bersatu di bawah panji Merah Biru dengan satu laungan Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.