BERTUAHNYA MENJADI KELUARGA JDT

Adalah menjadi amalan buat pasukan JDT untuk mengumpulkan semua pemain dan pegawai pasukan sebelum sesuatu perlawanan besar dilangsungkan. Tetapi kali ini ianya agak istimewa kerana jamuan makan malam ini disertai oleh sebahagian wakil dan kelab penyokong JDT.

Tiada protokol ketat, tiada kawalan yang menyusahkan membuatkan kami selesa untuk menyertai majlis.

Dari anak mata kami sendiri menjadi saksi bagaimana DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor menyantuni, menyapa pemain, keluarga pemain dari satu meja ke meja yang lain. TMJ telah menunjukkan kepada kami inilah ramuan kejayaan sebenar membina pasukan hebat seperti JDT. Ada masa anda perlu tegas dan ada masa anda perlu santai dengan pemain malah keluarga pemain sendiri.

 

Sedang kami asyik melihat keletah Aidil Zafuan membawa anak beliau bermain dengan kuda-kuda peliharaan di situ, DYAM Tunku Mahkota Johor mencemar duli datang untuk duduk semeja dengan kami. Seperti biasa ayat pertama baginda jika memulakan bicara:

“Bagaimana penyokong-penyokong kita semua sekarang?”

Bukti baginda amat mengambil berat ke atas penyokong-penyokong JDT dari dulu lagi.

Berbagai topik dan bicara yang cuba disampaikan oleh baginda malam itu. Antara pesan-pesan baginda kepada semua penyokong yang kami cuba simpulkan;

  1. Perlawanan Akhir Piala FA nanti sudah pasti JDT akan memberikan tentangan hebat kerana JDT sudah bersedia.
  2. Bunga Api? Jika kita juara, mohon semua penyokong bersabar hingga penghujung musim ini setelah semua perlawanan pasukan senior dan Akademi berakhir. Wajah baginda nampak betul-betul gembira dan teruja apabila berkongsikan kejayaan-kejayaan pasukan remaja JDT U17 & U12 Juara MSSM, JDT U13 Juara JSSL Singapore International.
  3. Baginda berpesan kepada penyokong JDT agar tidak perlu melenting dengan kutukan dan kritikan penyokong lawan kerana fakta tidak pernah menipu yang JDT adalah pasukan yang terbaik kini. Penyokong JDT boleh rujuk begitu banyak fakta dan statistik kejayaan JDT  yang telah dikongsi di laman rasmi JST. Jangan hanya kerana kita terkandas di ACL tempohari terus meletakkan JDT adalah pasukan gagal. Untuk fakta tahun ini kita cuma tewas 2 kali dan ianya di peringkat tertinggi Asia.
  4. Penyokong JDT perlu ‘Trust The Process’. Perjalanan masih jauh dan kita akan terus melakukan transformasi bagi meletakkan JDT di peringkat tertinggi di Asia. Kita akan terus cuba mencabar pasukan-pasukan terbaik Asia di ACL setiap tahun yang mana mereka sudah lama berada di situ dan lebih kukuh dari persediaan serta kewangan.

The best defense is a good offense” – Titah ingatan DYAM Tunku Mahkota Johor buat penyokong JDT. 

 

Malam itu kami telah melihat sendiri di belakang tabir ‘Keluarga JDT’ itu dibentuk dan diacu sejak dari dulu.

Menjunjung Kasih DYAM Tunku Mahkota Johor. Kepada pasukan Harimau Selatan, Selamat Berjaya di Final!

Luaskan Kuasamu Johor!

 

 

 

 

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply