“AWAK NAK MENANG PIALA, MASUK JDT” — TMJ

Perkataan ini adalah ‘selling point’ yang sering digunakan oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor ketika menarik minat pemain-pemain untuk beraksi bersama JDT.

Baginda tidak pernah menjanjikan minit permainan tetapi sebaliknya Baginda dengan yakin menjanjikan akan ada piala yang akan dijulang dan meletakkan diri pemain itu sebagai seorang juara.

Kenyataan ini nyata terbukti apabila pemain pertahanan, Shahrul Saad tidak memerlukan seminit waktu permainan pun untuk bergelar juara Liga Super buat kali pertama dalam karier beliau.

Shahrul atau lebih senang disapa Badak menyertai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Perak FC pada jendela perpindahan kedua dan tidak dapat beraksi kerana terpaksa menjalani rawatan akibat kecederaan.

Turut meraikan piala pertama adalah teman sepasukan Shahrul, Guilherme De Paula yang cuma beraksi 49 minit apabila dimasukkan sebagai pemain gantian sebanyak lima kali.

Kata-kata Baginda ini sememangnya benar apabila legenda JDT, Safiq Rahim kembali memenangi trofi apabila menyertai semula JDT selepas sebelum ini berkelana ke Melaka United.

Cerita yang sama juga terjadi kepada pemain sayap, Mohamadou Sumareh yang juga berjaya mendakap trofi Liga Super buat kali pertama selepas hanya setahun menyertai JDT walaupun bergelut pada peringkat awal.

Pemain remaja JDT, Arif Aiman Hanapi dan Ramadhan Saifullah pula sudah dua kali bergelar juara Liga Super sejak dinaikkan pangkat dari skuad akademi hingga berjaya memikat hati ketua jurulatih skuad kebangsaan.

‘Wonderkid’ Indonesia, Syahrian Abimanyu menjadi pemain muda Indonesia pertama mendapat pingat kejuaraan Liga Super kerana beliau menandatangani kontrak dengan JDT.

Benarlah saingan sengit di antara pemain-pemain JDT ketika latihan berjaya menjadikan mereka sebagai sebuah skuad yang mantap kerana setiap pemain perlu membuktikan keupayaan masing-masing ketika sesi latihan.

18 piala jadi milik JDT sejak penubuhan kelab pada 2013. Semua piala domestik sudah dimenangi tetapi mentaliti dahagakan kejuaraan itu sudah ditanam di dalam diri setiap pemain yang menyarung jersi merah biru.

Lapan kali juara liga ini bukanlah noktahnya. Pastinya Harimau Selatan akan kembali dengan lebih garang dan sudah pasti akan lebih banyak piala bakal mengisi kabinet kejuaraan. Luaskan Kuasamu Johor.

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*