APA SALAH JDT?

 

Apa salah JDT?

Media massa sama ada media tradisional atau media digital memang menjadi bahan rujukan kepada peminat bola sepak tempatan. Pembaca dan netizen kini mempunyai pelbagai platfom dan akses mudah kepada maklumat.

Namun menjadi media bukanlah sesuatu tugas yang mudah. Media tradisional terutamanya harus menjadi madah untuk pembaca berfikir secara rasional dan bukannya menghasilkan penulisan atau isu yang biasanya dibahas di media sosial.

Dalam konteks bola sepak, idea yang dibahas di media sosial biasanya berbentuk kebencian terhadap kejayaan atau kelemahan sesuatu pasukan. Oleh itu media tradisional harus mengambil isu ini dan mencantikkannya dari sudut ilmiah dan bukan menambah kekeruhan isu yang ada.

Menjadi penyokong setia JDT memerlukan ketahanan mental yang sangat kuat. Saya terima jika segala isu dilemparkan melalui laman sosial kerana “banter” di dalam bola sepak adalah lumrah. Tidak meriah liga kita tanpa semua ini.

Laman-laman ini banyak menghasilkan pahlawan papan kekunci yang hanya tahu menghentam tanpa memahami undang-undang atau isu dengan lebih mendalam. Tambahan pula ditaip dengan ledakan emosi menjadikan ia lebih bersifat berapi api.

Namun apa yang menyedihkan adalah tindakan akhbar arus perdana yang terus menerus memainkan isu berkaitan JDT yang jelas tidak berlaku adil kepada pasukan JDT.

Sudah lebih 2 minggu satu kapsul digital terbitan satu akhbar terkemuka negara memainkan isu yang sebenarnya bukanlah isu pun di awalnya. Adakah kerana ia melibatkan JDT, maka isu ini perlu diperbesarkan hanya kerana ingin melariskan jualan akhbar atau mendapat “like” yang banyak di media sosial.

 

Isu mengapa Diaz tidak dikenakan sebarang denda akibat meninggalkan kelab dibincangkan dengan bersungguh. Panelis menyatakan bahawa FMLLP harus mengambil tindakan supaya perkara lari dari kelab ini tidak menjadi barah yang lebih parah.

Tahukah panelis serta penerbit itu bahawa setiap pemain mempunyai kontrak bersama pasukan mereka. Jika mereka lari dari kelab, maka kelab akan menghukum pemain itu berdasarkan kontrak. Bukan tugas FMLLP untuk menentukan bentuk hukuman.

Mungkin pasukan JDT sudahpun mengambil tindakan undang-undang terhadap Diaz yang tidak didedahkan. Tahukah mereka bahawa pasukan Pahang juga menukar 2 import mereka dan apa terjadi kepada pemain yang dilepaskan. Mengapa tidak menjadi isu. Adakah kerana mereka bukan pemain JDT maka media sependapat bahawa mereka tidak perlu diberi perhatian.

Minggu lalu, pertukaran jersi pemain pula menjadi isu. Cabrera memakai jersi nombor 11 yang ditinggalkan Diaz. Media yang sama menerusi kapsul dan panelis serta penerbit yang sama membincangkan perkara ini. Persoalannya, ini bukanlah isu pun sebenarnya seperti kata Kevin Ramalingam dalam kenyataannya kepada wartawan tersebut.

 

Ianya lebih kepada pertanyaan atau kekeliruan dari penyokong pasukan lain yang bertanya dan FMLLP sudah pun menjawab dengan memberi contoh beberapa perubahan yang pernah berlaku seperti ini. Namun perkara ini masih dibangkitkan oleh media. Isu yang sepatutnya dibawa berbincang adalah isu yang boleh membawa kemajuan kepada semua yang terlibat dalam bola sepak negara kita.

Benarlah kata Tunku Ismail, media perlu berbuat demikian semata-mata ingin melariskan jualan akhbar mereka yang semakin nazak jualannya. Peranan media arus perdana adalah melaporkan hal yang boleh meredakan tekanan netizen dan bukan sebaliknya.

Gunakan segala persoalan di media sosial dan olah dengan pemahaman bebas. Dan cukup- cukuplah media mendapatkan maklum balas dari legenda yang sudah tidak relevan di masa sekarang. Media perlu bekerjasama dengan PFAM untuk mendapatkan maklum balas yang lebih memberi makna.

 

Kepada penyokong JDT, ambillah semua ini sebagai cabaran kepada anda. Tugas anda mudah sahaja. Jangan melayan segala tohmahan yang dilemparkan di mana-mana platfom media sekalipun. Tunjukkan kelas kita sebagai penyokong terbaik. Turun ke stadium dan buktikan sokongan.

“Haters gonna hate. Luaskan Kuasamu Johor”

Zulkifli, Mersing

Kredit Foto: www.asiana.my, pfam

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply