HUJUNG MINGGU CERIA BUAT PENYOKONG JOHOR DARUL TA’ZIM

Penghujung bulan Mei disambut gembira oleh kesemua penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila menyaksikan kesemua pasukan yang bernaung di bawah jenama Harimau Selatan berjaya mencipta kemenangan.

Bermula dari pasukan utama hingga ke pasukan akademi, JDT tidak pernah perlahan dan menjadikan lawan sebagai mangsa tanpa mengira sama ada beraksi di laman sendiri mahupun ketika bergelar pasukan pelawat.

Tiga mata yang diraih diraikan umpama memenangi piala kerana ‘winning mentality’ yang sudah diterapkan dalam jiwa setiap pemain dan pegawai apabila mereka menyarung jersi keramat merah biru.

Skuad utama JDT menang bergaya di Cheras sekaligus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super dengan aksi yang cukup meyakinkan hingga memukau barisan pertahanan lawan dan menceriakan ribuan penyokong yang hadir di stadium.

Kejayaan itu turut berlaku serentak dengan skuad JDT IV apabila mudah membenam cabaran Terengganu FC IV dalam saingan Piala Belia di Kulai sekaligus naik ke takhta Kumpulan B.

Berselang tiga jam, Pasir Gudang pula menjadi saksi pertembungan epik Liga Premier Futsal Kebangsaan dengan JDT berjaya menewaskan seteru utama, Pahang Rangers sekaligus kekal di tangga teratas liga.

Tidak cukup hanya mencipta kejayaan dan kemenangan di Cheras, Kulai dan Pasir Gudang, JDT meluaskan kuasa hingga ke Singapura apabila skuad akademi B15 dan B13 tanpa belas mencipta kemenangan dalam Liga Remaja Singapura.

Kejayaan demi kejayaan yang dicipta ini bukanlah dipersembahkan kepada pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail tetapi juga ianya menjadi hadiah buat kita para penyokong yang tidak pernah jemu berada di belakang pasukan yang membawa jenama JDT.

Pedulikan kritikan netizen kerana orang mengkritik apabila kita bagus. Tidak ada orang yang peduli kepada pasukan atau penyokong yang sendu. Pekakkan telinga, butakan mata dan kentalkan hati untuk menjadi sebahagian daripada Keluarga JDT mencipta sejarah.

JDT sudah berikan senyuman kepada kita jadi tugas kita adalah penuhkan stadium dan teruskan sokongan tanpa basa basi serta ingat, apa yang kita miliki ketika ini menjadi iri hati mereka yang lain. Fikir-fikirkanlah. Ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.