TERIMA HAKIKAT BOLA SEPAK MALAYSIA MERIAH KERANA TMJ DAN JDT

 

Sejak dahulu lagi bola sepak adalah nadi buat rakyat Malaysia kerana ianya adalah sukan yang paling mudah dan murah dimainkan yang hanya perlukan sebiji bola yang tidak semestinya bola dan tiang gol yang kebanyakkannya menggunakan selipar.

Atas sebab itulah, sukan bola sepak sering mendapat perhatian banyak pihak termasuk pemerintah kerana ianya adalah sukan rakyat dan boleh dilihat sebagai pemersatu bangsa tanpa mengira warna kulit dan kedudukan.

Foto: Hairi Johari – HS

Liga Malaysia mempunyai peminat tersendiri begitu juga skuad Harimau Malaya meskipun pencapaiannya hanyalah cukup makan dan sesekali boleh dibanggakan itupun di peringkat Asean sahaja.

Kita tidak pernah pun bermimpi untuk melihat kelab atau negara kita bermain di peringkat tertinggi Asia dan ketika itu perkara-perkara sebegini dianggap umpama mimpi dalam mimpi oleh kebanyakan penyokong.

Namun segala-galanya berubah sejak 2013 apabila bermulanya penglibatan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atau lebih dikenali sebagai TMJ yang mengubah lanskap bola sepak negara dan negeri Johor dengan mewujudkan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketika ramai orang industri dan penyokong tidak celik akan undang-undang bola sepak dunia, TMJ bagaikan nostradamus berjaya merubah bukan sahaja lanskap tetapi kemeriahan dan juga impian setiap penyokong Malaysia untuk melihat pasukan kita bersaing di peringkat lebih tinggi.

Bola sepak Malaysia mula dipandang pasukan serantau apabila JDT berjaya muncul juara Piala AFC 2015 sekaligus menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Timur yang menjuarai kejohanan itu sehingga kini.

Sejak dari kejayaan ini, mata mula dibuka tentang kepentingan beraksi di peringkat Asia kerana ianya membantu ranking selain menaikkan nilai komersil liga yang kita lebih berdaya saing dan berada di tangga ke-11 liga seluruh Asia.

Foto: Hazri Sharani – HS

Tidak cukup dengan Piala AFC, JDT mengorak langkah lebih jauh dengan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan berjaya layak ke pusingan 16 terbaik sekaligus menjadi kelab Malaysia pertama mencapai tahap 16 kelab terbaik Asia dan untuk musim 2024-25, JDT bergelar kelab elit Asia apabila layak ke Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) yang hanya melibatkan 18 kelab terbaik seluruh Asia.

Perkara-perkara ini menjadikan semua pasukan sudah mula mengubah sasaran selepas penyokong masing-masing sudah mula cakna tentang kepentingan beraksi di Asia yang mana kini dilihat menjadi KPI wajib buat semua pengurusan kelab di Liga Malaysia.

Kejayaan JDT di pentas Asia juga membantu lebih banyak kelab Malaysia merasai nikmat bermain di Asia. Tanya penyokong Kedah Darul Darul FC, Sabah FC, Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC betapa manisnya pengalaman mereka menyokong pasukan di peringkat Asia.

Kini giliran penyokong Selangor FC pula mula menyimpan duit dan bercita-cita untuk turut sama merasai kehangatan malam Asia yang akan menjadi sebuah kisah klasik untuk masa depan.

‘Banter’ Liga Malaysia juga semakin meriah kebelakangan ini dan ianya menjadi semakin hangat hasil cuitan TMJ yang sering memberikan fakta bukan auta kepada semua penyokong bola sepak Malaysia.

Foto: Terengganu FC

Kehangatan sesi latihan Terengganu FC terhasil kerana tindakan TMJ dan JDT yang meminjamkan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid sekaligus menjadi bahan tontonan para penyokong yang teruja untuk menyaksikan dua nama besar bola sepak Malaysia itu di depan mata mereka.

Ianya juga mewujudkan rasa percaya kepada setiap penyokong bahawa Terengganu mampu menjadi pencabar utama meskipun masih sukar untuk menurunkan JDT dari takhta kejuaraan yang sudah sedekad didominasi.

Sedar atau tidak, suka atau tidak ini adalah hakikat yang perlu diterima ramai. TMJ dan JDT adalah punca kehangatan bola sepak Malaysia. Kalau tidak percaya lihat sendiri apabila TMJ diam, tidak ada apa yang dilaporkan tentang bola sepak oleh media tetapi apabila Baginda mula mencuit, ianya menjadi tajuk setiap media dan portal kerana beritanya boleh dijual.

Terima kasih TMJ, terima kasih JDT kerana menjadikan Liga Malaysia lebih berdaya saing dengan nilai komersil yang meningkat dan kita sebagai penyokong mempunyai hiburan untuk membaca segala ‘banter’ yang dilakukan untuk menghangatkan liga.

Kalau bukan kita, siapa lagi kan. Fikir-fikirkanlah