JDT menang lagi! Alaa ada ramai Mat Salleh boleh laa menang! Inilah dendangan yang sering dikumandangkan oleh penyokong bola sepak tempatan apabila melihat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim tanpa belas kasihan membelasah kesemua lawan yang dihadapi tidak kira di kandang sendiri mahupun di laman lawan.
Mentaliti laparkan gol dan kemenangan ini sememangnya ditanam oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang dilihat kini meresap baik ke jiwa penyarung warna merah biru ketika diatas padang.
Terbaharu, Harimau Selatan bagaikan kelaparan apabila kali ini Sang Kenari pula dibaham tanpa belas. Tujuh gol membolosi gawang meskipun hanya enam yang dikira sudah cukup menggembirakan 13,772 penyokong setia yang tidak pernah menjadikan Ramadan mahupun hari apa sebagai alasan untuk hadir ke stadium.
Ye benar JDT dibarisi ramai Mat Salleh pada babak pertama tetapi tidak ramai yang sedar pemain tempatan sebenarnya yang menghasilkan malam magis Iskandar Puteri hingga menyebabkan pemain lawan seakan-akan terpaku dan hanya menyaksikan perlawanan bola sepak di dalam padang.
Kemasukan maestro tengah JDT, Afiq Fazail menggantikan Endrick Dos Santos pada babak kedua nyata mengubah dinamik perlawanan dan hasilnya tiga gol pantas tercipta dalam tempoh lima minit hingga ada penyokong yang memuat naik hantaran di Twitter mengatakan belum sempat bernafas sudah kembali raikan gol.
Itulah kelebihan Afiq yang masih ramai tidak perasan kerana Jambu bukanlah pemain yang berprofil tinggi tetapi dia adalah pemain yang prolifik hinggakan dia tidak pernah diketepikan dari skuad meskipun jurulatih bertukar ganti.
Sekalian alam seakan terpesona dengan gol kelima JDT jaringan Arif Aiman yang nyata memiliki elemen magis yang mengundang histeris. Gandingan tiga pemain tempatan — Akhyar, Arif dan Syahmi yang kelihatan serasi persis mesin yang efisien membelah pertahanan lawan.
Bermula dari Akhyar yang menari-nari mencari ruang lalu menghantar kepada Arif yang sekali lagi mengundang tontonan semua pertahanan Kedah dan dengan sekali tolakan berjaya menjumpai Syahmi Safari dibelakang yang kemudiannya mengacah dan menolak kembali kepada Arif yang dengan tenang melakukan ‘body cheat’ hingga rebahnya Kalamullah sebelum mudah berjalan membawa bola ke dalam gawang.
Meledak sekali lagi Keluarga JDT di dalam stadium yang pastinya akan memperkatakan tentang jaringan itu untuk tempoh masa yang lama kerana ianya begitu mengujakan untuk disaksikan hinggakan ulang tayang perlu disaksikan berulang kali untuk memastikan kesahihan yang ianya dilakar oleh pemain tempatan dan bukannya Mat Salleh.
Dalam pada itu, Malaysia disajikan dengan kemunculan Feroz Baharudin yang kini bukan sahaja kental bertahan walau dengan siapa pun dia digandingkan tetapi kini sudah menjadi penyumbang jaringan dan juga menjaringkan debut gol buat Harimau Selatan.
Kesemua pemain-pemain muda tempatan ini mendapat pujian daripada Esteban Solari yang gembira melihat anak-anak muda ini bermain bola sepak mudah meskipun bukan mudah untuk bermain secara mudah. Hanya azam dan disiplin dalam latihan mampu membentuk perwatakan juara ini.
Musim ini kita bukan sahaja disajikan persembahan yang mantap tetapi gol yang tidak putus-putus sejak dari perlawanan pertama dan kini kita menanti PDRM pula di Iskandar Puteri dan mungkin satu lagi rekod jaringan mampu dilakar.
Jadi tugas kita sebagai penyokong adalah penuhkan stadium. Kita adalah satu-satunya pasukan yang mencatatkan jumlah lima angka penonton ke stadium sepanjang bulan mulia ini. Sebelum kita meraikan Hari Raya mari kita beraya dahulu di stadium dengan rasa kepuasan yang maksimum.
Ngauman Selatan tak pernah berhenti. Ayuh ke stadium berikan sokongan dan tunjukkan kepada semua Ini Johor Darul Ta’zim. Tunjuk pada mereka siapa kita dan tanya mereka What Can You Do? Luaskan Kuasamu Johor.