”The people who say You Can’t and You Won’t are probably scared that You Will!”
Reviu Liga Super – JDT lawan Terengganu FC
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bakal menyaksikan pertembungan Teregganu FC dan JDT untuk merebut tempat sebagai pendahulu Liga Super. Siapa yang menang akan selesa merajai takhta liga.
JDT akan turun buat kali ketiga dalam seminggu dan rotasi pemain sudah mula digunakan jurulatih ketika pertemuan dengan Tampines Rovers tempoh hari.
Tempoh rehat yang cukup untuk kesebelasan utama sangat dituntut untuk perlawanan bermagnitud tinggi ini kerana Terengganu adalah pasukan yang berintensiti tinggi. TFC juga masih belum kalah dalam semua pertandingan yang mereka sertai.
Misi mencari kemenangan sulung di tempat lawan dalam Liga Super masih ditagih peminat. Inilah platform terbaik untuk JDT mengembalikan semula keyakinan peminat sekaligus memadam kata-kata media bahawa JDT hanya jaguh kampung.
Terengganu FC bukanlah calang-calang pasukan. Siapa tidak kenal akan kebolehan taktikal Irfan Bakti. Beliau berjaya membawa semua pasukan beliau menjadi pencabar liga. Irfan pasti sudah mempunyai ramuan untuk menewaskan JDT di dalam kocek beliau.
Pemain TFC juga kebanyakannya sudah 2 musim bermain bersama dan ini pasti membantu sefahaman dan taktikal pasukan. Gandingan pemain import dan pemain tempatan dilihat sudah serasi dari beberapa perlawanan awal.
JDT harus mengekang pemain import pasukan TFC jika ingin menang pada perlawanan ini. Lee Tuck, Thierry Chanta Bin dan penjaring terbanyak mereka Tchetche Kipre sangat merbahaya jika diberikan ruang yang secukupnya.
Pemain tempatan mereka seperti Ashari Samsudin, Malek Arif, Faiz Nasir serta Fitri Omar sangat berpengalaman bermain di peringkat tertinggi ini. Bermain dihadapan 10,000 peminat akan menaikkan lagi semangat mereka untuk menumbangkan juara Liga Super 4 kali ini.
Motivasi pasukan JDT ketika ini dilihat sedikit terkesan akibat permasalahan dalaman yang melanda. Namun sebagai pemain profesioanal mereka pasti berjaya mengatasi segala masalah yang dihadapi.
Raul Longhi juga perlu keluar dari kepompong Ulisses Morais. Beliau kini dalam fasa perubahan dan perlawanan ini akan menentukan sama ada beliau layak menerajui JDT atau pasukan terpaksa membuka buku cek untuk mengambil jurulatih baru.
TFC dijangka akan bermain dengan corak permainan yang terbuka dan sering menyerang. JDT perlu menutup segala ruang bagi membataskan pergerakan Lee Tuck yang bermaharajalela menghancurkan pasukan Selangor. Jika Lee Tuck dapat disenyapkan maka JDT akan lebih mudah untuk mencorak kemenangan.
JDT juga harus memperbaiki masalah penyerang mereka. Pasukan dilihat bergelut untuk melancarkan serangan. Kembalinya Gonzalo Cabrera pasti dapat membantu serangan pasukan dan ketajaman penyudah Luciano Figueroa dan Hazwan Bakri ditagih untuk merobek kubu TFC.
Perlawanan ini pastinya akan memberi peminat bola sepak satu permainan yang menghiburkan. Bangsa Johor di Terengganu, abaikan perlawanan Liga Inggeris antara Manchester United dan Liverpool serta siaran langsung di TV sebaliknya turun ke stadium untuk memberi sokongan kepada JDT.
Luaskan Kuasamu Johor
Barisan Kemungkinan:
Johor Darul Takzim
Farizal Marlias, Azrif Nasrulhaq, Marcos Antonio, Fadhli Shas, Corbin Ong, Hariss Harun, Natxo Insa, Safiq Rahim, Gonzalo Cabrera, Hazwan Bakri, Luciano Figueroa
Terengganu FC
Suffian Rahman, Fitri Omar, Igor Zonjic, Nasrullah Haniff, Kamal Azizi, Theirry Chanta Bin, Malik Arif, Lee Andree Tuck, Shahrul Aizad, Ashari Samsudin, Tchetche Kipre
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.