Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah contoh sebuah kelab bola sepak yang mempunyai reputasi yang unggul, berprestij dan sering menjaga keterampilan dari semua perspektif.
Mengambil pendekatan yang dilakukan oleh kelab-kelab terkemuka dunia hasil dari kolaborasi sebelum ini, menitik beratkan penjagaan kualiti, reputasi dan prestij telah diadaptasi dalam kelab kebanggaan kita ini.
Kebanyakan penyokong bola sepak mengatakan bahawa reputasi dan prestij sesebuah kelab terletak pada kejayaan membawa masuk atau menandatangani kontrak pemain ternama dan terkenal. Memang benar namun itu hanyalah pandangan subjektif dan elemen ini bersifat sementara.
Hakikat dan rasionalnya, banyak aspek yang perlu lebih ditonjolkan lagi oleh sesebuah kelab tersebut supaya penilaian reputasi dan prestij itu kekal hakiki.
PENAMPILAN
Terdapat korelasi yang kuat antara reputasi serta nilai prestij keatas penampilan sesebuah pasukan. DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja amat mengutamakan penampilan bagi setiap komponen dalam organisasi JDT supaya sentiasa kelihatan hebat dan menyakinkan.
Maka atas timbang tara faktor tersebut, JDT telah bersetuju menandatangani perjanjian tajaan bersama NIKE berikutan tajaan NIKE adalah berkait rapat dengan artikulasi nilai komersial, publisiti dan penjenamaan di peringkat global yang efektif.
Faktor utama NIKE berminat menaja JDT pula adalah kerana melihat DYAM Tunku Mahkota Ismail memiliki falsafah jelas dalam memacu kejayaan yang lebih besar lantas membawa nilai positif keatas promosi penjenamaan mereka kelak.
PRESTASI
JDT sentiasa bercita-cita dan menanamkan keinginan tinggi untuk mencapai prestasi maksimum, menetapkan matlamat yang jelas serta bangkit dengan semangat baharu pada setiap hari.
Dengan adanya nilai ini, ia menjadikan kelab kebanggaan kita ini sentiasa berkembang dan tidak statik di tahap yang sama.
Statistikal menunjukkan JDT mempunyai peningkatan prestasi yang menakjubkan setiap musim. Bermula dari tahun 2013 hinggalah terkini, prestasi Harimau Selatan bercambah positif.
Kejayaan mempertahankan enam tahun kejuaraan dan masih lagi memonopoli liga domestik tempatan menjadikan pesaing-pesaing traumatik dan direnjat emosi setiap musim berganti.
Paling membanggakan projek akar umbi juga kini membuahkan hasil apabila berjaya mendominasi setiap kejuaraan dalam dan luar negara yang dipertandingkan mengikut peringkat usia.
FASILITI, PRASARANA DAN TEKNOLOGI
JDT kini menjadi sebuah kelab yang semakin sempurna setelah berjaya membuat pembaharuan prasarana, fasiliti, infrastruktur dan teknologi bertaraf dunia.
Stadium Sultan Ibrahim dan bangunan induk ibu pejabat JDT pula menjadi mercu tanda terbaharu bagi Harimau Selatan. Manakala beberapa projek mega terbaharu bakal diimplementasi tidak lama lagi apabila baginda mengumumkan bahawa RM75 juta akan diperuntukkan untuk membina pusat latihan baharu.
Merangkumi stadium mini yang berkapasiti 8,000 tempat duduk serta membina dua padang tertutup khas untuk pemain muda JDT yang berumur 12 tahun sehingga ke skuad utama. Agenda terbaharu ini dinamakan sebagai ‘JDT Compound’.
KERAIAN DAN SAMBUTAN
Ini adalah perkara terakhir yang membuktikan DYAM Tunku Mahkota Ismail sentiasa menjaga reputasi dan prestij kelab unggul ini. Gimik memperkenalkan jersi kelab diraikan begitu istimewa dan amat berbeza berbanding pasukan-pasukan lain. Begitu juga dengan sambutan menjulang kejuaraan telah dirancang penuh teliti, “supra” dan “spectacular”.
Imbas kembali, majlis menjulang piala pada musim 2019, pelbagai acara telah diadakan pada hari tersebut seperti pertunjukan bunga api yang menakjubkan, persembahan lampu serta pertunjukan istimewa menggunakan dron yang serba canggih, persembahan artis luar negara dan artis-artis tempatan berkelas A.
Akhir kata, selain daripada perkara-perkara diatas, faktor winning mentaliti, pengaruh psikologi dan penyokong juga menjadi faktor menjadikan JDT sentiasa tampil dengan reputasi yang hebat dan berprestij.
“JDT. Ia bukan hanya mengenai kemenangan. Ia mengenai kemenangan dalam setiap aspek dengan bergaya”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.