10,962 PENYOKONG NIKMATI PERSEMBAHAN BERGSHOW

Selepas kecewa di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak mahu menanggung duka terlalu lama apabila kembali dominan dalam Liga Super.

Tempohari Melaka United menjadi mangsa amukan Harimau Selatan apabila dengan mudah meratah Sang Kancil sebagai santapan dengan kemenangan 4-0 dengan persembahan yang mantap dan bertenaga.

Walaupun bermain pada hari Isnin dan perlawanan bermula jam 8.15 malam, penyokong JDT tidak menggunakan semua itu sebagai alasan apabila hampir 11,000 hadir ke Stadium Sultan Ibrahim untuk memberikan sokongan.

Hasilnya mereka diberikan sebuah persembahan lima bintang dengan Bergshow sebagai menu utama dengan jaringan hattrik yang menjadikan pertahanan Melaka United sekadar terpaku di dalam kotak penalti mereka.

Bergson yang baru memasuki musim kedua bersama JDT kini sudah menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman, Gonzalo Cabrera dengan 43 gol dan gol ke-20 nya dalam Liga Super dari 15 perlawanan.

Namun seperti kata ketua jurulatih Hector Bidoglio, kejayaan ini adalah hasil kerja keras semua pemain dan juga hasil pengalaman tewas kepada Urawa Reds tempoh hari.

JDT akan tampil seperti harimau yang cedera setiap kali mengalami kekalahan dan lawan seterusnya akan menjadi mangsa tanpa belas kasihan dan kita sebagai penyokong akan tersenyum dengan keputusan ini.

Selepas Sang Kancil, kini Gergasi Merah pula menanti untuk menguji kekuatan Harimau Selatan. Kepada penyokong JDT di Lembah Klang, ayuh kita merah birukan Petaling Jaya dan buktikan ini Johor Darul Ta’zim.

Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply