TMJ DAN JDT BERI PELUANG PEMAIN KEBANGSAAN RASAI SENDIRI FASILITI TERBAIK DALAM NEGARA

Semua maklum bahawa Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai fasiliti latihan yang paling canggih dan terbaik di negara ini baik di Padang Seri Gelam, Padang Mawar mahupun di Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah (TUTA).

Ini terbukti apabila kehadiran skuad kebangsaan menjalani latihan di fasiliti milik JDT membuka mata lebih ramai pihak tentang pentingnya mempunyai kemudahan latihan seperti yang dilakukan JDT.

Penggunaan pusat-pusat latihan ini oleh Harimau Malaya adalah kurniaan daripada pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang sememangnya sentiasa menyokong perjalanan dan pembangunan skuad kebangsaan.

Skuad senior kebangsaan yang berkampung selama 12 hari di Johor Bahru telah berlatih di Padang Seri Gelam pada minggu pertama sebelum beralih ke Padang Mawar untuk latihan minggu kedua dalam keadaan yang cukup selesa dan kondusif tanpa mengira keadaan cuaca.

Dua pusat latihan berkelas dunia ini dapat membenarkan pemain memberikan potensi sebenar mereka dan juga mempercepatkan proses pemulihan pemain selepas beraksi sekaligus memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

Stadium TUTA pula digunakan oleh pasukan lawan iaitu Turkmenistan dan Hong Kong dengan pasukan Asia Tengah itu memuji kemudahan yang disediakan serta padang yang baik di Stadium Sultan Ibrahim.

Pemain-pemain yang baharu menyertai skuad kebangsaan juga memuji kemudahan yang ada di pusat latihan JDT dan menegaskan inilah sebab utama Harimau Selatan sentiasa muncul juara setiap tahun kerana para pemain merasakan diri mereka sebagai pemain bola sepak professional.

Tambah menarik, meskipun digunakan dengan kerap kerana berselang seli dengan latihan JDT, keadaan padang di pusat-pusat latihan ini tetap dalam keadaan terbaik sekaligus membuktikan daya tahan rumput yang digunakan.

Bercerita perihal stadium, tidak banyak yang perlu dikatakan lagi kerana Stadium Sultan Ibrahim mempunyai lapangan terbaik dan permainan pantas yang dikehendaki oleh Kim Pan-gon berjaya dilaksanakan dengan baik oleh para pemain kerana keadaan padang yang sempurna untuk permainan bola sepak moden.

Berani diperkatakan, kesemua pemain kebangsaan yang hadir ke kem latihan pusat kali ini pastinya akan gembira dan berpuas hati serta teruja dapat menggunakan fasiliti serba lengkap ini dan pastinya mengharapkan sesuatu yang sama apabila pulang ke kelab masing-masing selepas ini.

 


Itulah kelebihan yang ada pada JDT. Seorang pemimpin yang mempunyai minat dan tahu apa yang diperlukan untuk membentuk sebuah pasukan bola sepak mengikut peredaran semasa yang menuntut tahap professionalisme yang tinggi.

Bertuah buat pemain Harimau Malaya kerana dapat merasai sendiri pengalaman berlatih di Pusat Latihan JDT dan dapat bermain di Stadium Sultan Ibrahim sebagai tuan rumah. Akhir kata #whatcanyoudo

Luaskan Kuasamu Johor.