Sudah acap kali rasanya DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor memberi pandangan dan nasihat betapa pentingnya pasukan bolasepak tempatan berubah cara pemikiran dalam pengurusan kelab bolasepak. Sejak baginda mengambil alih JDT, baginda telah mentransformasi bolasepak Johor daripada pasukan biasa-biasa kepada pasukan luar biasa sekarang.
Dari 2013 lagi JDT tidak memerlukan dana daripada kerajaan negeri untuk membentuk pasukan JDT. Penubuhan JDT adalah di atas usaha penat jerih baginda mencari pelabur-pelabur serta penaja berkualiti bagi menampung kos perbelanjaan JDT.
Malah sudah berapa kali juga baginda telah menggunakan duit baginda sendiri untuk perbelanjaan kelab. Untuk menjadi sesuatu yang besar anda semestinya memerlukan pengorbanan yang besar.
Tiada siapa tahu bagaimana sukarnya TMJ membina JDT. Apa yang penyokong dan semua peminat bolasepak tempatan lihat kini baginda kelihatan gembira, melancong ke stadium-stadium bolasepak Eropah dan bercuti bersama pemain di pulau seperti ianya tiada masalah.
Sebagai seorang pemilik pasukan, baginda sudah pasti mahu menjaga moral pemain dan memberi pandangan positif kepada prospek pelabur luar. Segala sakit, getir, kepayahan baginda akan baginda simpan dan hanya belakang tabir pasukan sahaja yang tahu.
Siapa cakap JDT tidak pernah menghadapi masalah kewangan?
Sudah pasti ada, tetapi TMJ tidak pernah menagih simpati daripada kerajaan negeri untuk memohon bantuan kewangan kerana sebagai Tunku Mahkota Johor, baginda sekali-kali tidak mahu mengabaikan amanah rakyat Johor.
Duit kerajaan negeri adalah hak milik rakyat Johor. Tidak sesekali baginda mahu menyalurkan dana rakyat ini ke kelab bolasepak.
Pernah sekali JDT mengalami sedikit masalah di 2018 apabila menghadapi potensi kehilangan penaja utama. Namun begitu, TMJ tidak pernah melatah untuk mendapatkan bantuan kerajaan negeri.
Apa yang dilakukan TMJ adalah kelab perlu bersedia untuk berjimat dan kawalan ketat ke atas kewangan kelab. Di sini juga lahirnya idea penubuhan Yayasan JDT di mana JDT memberi peluang kepada penyokong-penyokong JDT sendiri untuk menyumbang kepada Yayasan JDT.
Dengan segala pengalaman baginda ini adakah baginda tidak layak untuk menegur kelab-kelab pasukan tempatan yang masih mengharapkan dana kerajaan?
Jika pasukan-pasukan lain dari awal lagi dahulu mengikut jejak langkah TMJ membentuk JDT, sudah pasti dalam tempoh 7 tahun ini bukan JDT sahaja yang hebat di padang mahupun di luar padang. Tetapi 12 pasukan liga tempatan boleh bergerak sendiri dan gah membawa nama kelab tanpa bantuan dana dari kerajaan malah tidak perlu pun menerima pandangan dari tokoh-tokoh bolasepak veteran.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.